Assad kekalkan gaya hidup mewah di Rusia?

Iklan
Assad bersama isteri dan tiga anaknya kini mendapat suaka di Rusia.

MOSCOW - Presiden Syria digulingkan, Bashar al-Assad bersama isteri dan tiga anak mereka kini memulakan kehidupan baharu di Rusia selepas diberikan suaka oleh sekutunya, Vladimir Putin.

Bekas Wanita Pertama, Asma al-Assad dikatakan sudah terbiasa dengan kehidupan mewah dan pernah menghabiskan ratusan ribu dolar untuk kelengkapan rumah serta pakaiannya ketika suaminya masih memegang kuasa.

Iklan
Iklan
Keluarga Assad dikatakan membeli kira-kira 18 unit pangsapuri mewah kompleks City of Capitals di Moscow.

Ia didedahkan laman pembocor maklumat, WikiLeaks pada 2012 yang menunjukkan Asma membelanjakan AS$350,000 (RM1.6 juta) untuk perabot istana Presiden dan AS$7,000 (RM30,932) untuk kasut bertatahkan kristal.

Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menganggarkan nilai kekayaan keluarga berkenaan mencecah AS$2 bilion (RM8.85 bilion) dan disembunyikan dalam pelbagai akaun, tax heaven, shell companies serta portfolio hartanah.

Iklan
Hiasan dalaman pangsapuri tersebut yang dipercayai mungkin menjadi tempat tinggal baharu keluarga Assad yang kini hidup dalam buangan.

Keadaan yang terdesak ketika ini berkemungkinan menyebabkan Assad menggunakan pengaruh dan aset mereka di Moscow untuk mengekalkan gaya hidup selesa meskipun tinggal dalam buangan.

Menurut laporan Daily Mail, keluarga besar diktator itu membeli kira-kira 20 pangsapuri bernilai lebih 30 juta euro (RM138 juta) sejak beberapa tahun lalu kerana menganggap Rusia sebagai ‘tempat selamat’ buat mereka.

Iklan

Antara yang memiliki aset di negara itu ialah keluarga bapa saudaranya, Mohammed Makhlouf yang disenaraikan sebagai individu kedua paling kaya di Syria dan mempunyai aset penting di Moscow.

Laporan FT mendedahkan keluarga berkenaan membeli kira-kira 18 pangsapuri mewah di kompleks City of Capitals iaitu struktur pencakar langit dan bangunan pejabat di ibu kota.

Menara berkembar yang juga bangunan tertinggi di Eropah itu didiami ahli perniagaan terkaya, beberapa kementerian, hotel bertaraf lima bintang dan syarikat multinasional.

Terdapat spekulasi mendakwa kompleks dilengkapi hiasan dalaman mewah dengan pemandangan menakjubkan Moscow itu mungkin menjadi kediaman keluarga Assad.

Penemuan terowong rahsia

Terowong rahsia yang dipercayai digunakan oleh Assad dan sekutunya untuk melarikan diri.

Kremlin mengesahkan suaka atas dasar kemanusiaan yang diberikan kepada Assad berdasarkan dekri Putin.

Jurucakap Presiden, Dmitry Peskov bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut lokasi sebenar keberadaan Assad bersama keluarganya sama ada ditempatkan di rumah perlindungan kerajaan atau hartanah persendirian.

Asma yang sebelum ini bertarung dengan leukemia agresif dipercayai telah tiba di Moscow bersama anak perempuan, Zein, 22 dan dua anak lelakinya, Hafez, 24, serta Karim, 21, beberapa hari sebelum suaminya ‘melarikan diri’.

Rangkaian terowong rahsia di ruang bawah tanah rumah agam milik Assad ditemui puak pemberontak selepas mereka menawan Damsyik pada Ahad.

Mereka percaya laluan tersebut digunakan oleh pemimpin itu bersama sekutunya untuk meninggalkan ibu kota.

Assad dilaporkan berlepas dari pangkalan tentera udara Khmeimim dengan menaiki pesawat Rusia setelah penjejak penerbangan menunjukkan pelepasan mencurigakan dari bandar Latakia beberapa jam sebelum beliau disahkan sudah tiba di Moscow.

Penggulingan Assad telah meruntuhkan ‘benteng pertahanan’ Iran dan Rusia di Asia Barat, sekali gus membuka ruang kepada AS serta sekutunya, Israel untuk memporak-perandakan lagi rantau berkenaan.

Bapanya, Hafez al-Assad yang memegang kuasa sejak 1971 telah berpihak kepada Kesatuan Soviet untuk mencapai ‘keserataan’ dengan Israel yang disokong AS.

Ketika ini timbul persoalan tentang masa depan pangkalan tentera Rusia di Damsyik setelah penyingkiran Assad memandangkan AS terus kekal di negara itu.

"Kami masih lagi berdialog dengan Ankara dan negara serantau termasuk mengenai hal ehwal dalaman Syria. Negara itu sedang berdepan tempoh yang sukar. Kremlin berazam untuk meneruskan sesi rundingan,” ujar Peskov.

Moscow telah menjadi penyokong kuat Damsyik sejak fasa awal Perang Dingin dan mengiktiraf kemerdekaan negara itu pada 1944 selepas era penjajahan Perancis berakhir. - Agensi