PUTRAJAYA - Rasuah dan toleransi terhadap salah laku dalam kalangan penjawat awam mencipta persekitaran yang membenarkan pelanggaran integriti berterusan.
Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr Ismail Bakar mendedahkan, ia sekali gus menjadi masalah sistemik yang memerlukan pembaharuan menyeluruh.
"Pembaharuan dalam aspek pengawasan, etika kerja dan pembentukan budaya yang lebih telus serta bertanggungjawab,” katanya kepada Sinar Harian.
Ujar beliau, dalam sesetengah agensi penguat kuasa, terdapat budaya yang toleransi atau mengabaikan salah laku termasuk rasuah.
"Tindakan salah laku dianggap perkara biasa dan tidak diambil serius yang mana budaya ini menggalakkan penjawat awam untuk terus melanggar integriti tanpa rasa bersalah,” katanya.
Ismail berkata, terdapat beberapa faktor utama mendorong kepada masalah integriti dalam kalangan penjawat awam termasuk pengawasan yang lemah.
"Kami dapati kurangnya mekanisme pengawasan yang berkesan memberikan ruang kepada penjawat awam, terutamanya pegawai penguat kuasa untuk terlibat dalam rasuah tanpa rasa takut akan akibatnya,” ujar Ismail.
Menurut beliau, gaji rendah dan tekanan kerja yang tinggi turut menjadi punca isu integriti.
"Kadar gaji sering kali menjadi punca utama yang mempengaruhi penjawat awam untuk terjebak dalam rasuah.
"Pegawai penguat kuasa berhadapan dengan tekanan ekonomi dan kerja yang berlebihan mungkin melihat rasuah sebagai jalan pintas untuk memenuhi keperluan peribadi mereka,” jelasnya.
Tambah Ismail, pihaknya mendapati kelemahan dalam penguatkuasaan dan hukuman yang tidak tegas menyebabkan sesetengah individu merasa bahawa risiko untuk terlibat dalam rasuah adalah rendah.
"Ini mencetuskan persepsi bahawa tindakan terhadap rasuah atau salah laku adalah lemah dan tidak berkesan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pencegahan adalah lebih berkesan daripada menunggu masalah timbul di kemudian hari.
Katanya, antara langkah yang perlu diambil ialah mewujudkan satu budaya di mana integriti menjadi teras dalam setiap tindakan sama ada sebagai penjawat awam mahupun rakyat Malaysia.
"Ini bukan sahaja penting secara individu, tetapi juga untuk negara ini secara keseluruhan. Saya ingin menegaskan bahawa walau sekecil mana, rasuah tetap merosakkan integriti negara.
"Dalam banyak kes, masyarakat dan sebahagian pihak berkuasa telah mula menganggap rasuah dan salah laku sebagai sesuatu yang biasa serta diterima. Sikap yang perlu dihentikan,” jelasnya.
Ismail berkata, rasuah merupakan salah laku yang mencemarkan prinsip keadilan, ketelusan dan integriti dalam sistem pentadbiran negara.
Ujarnya, setiap perbuatan rasuah akan memberi impak yang besar terhadap ekonomi, sosial dan struktur masyarakat Malaysia.
"Jika tidak ditangani dengan tegas, ia akan membenarkan penyalahgunaan kuasa dan ketidakadilan berterusan.
"Masa depan negara bergantung pada pilihan hari ini dan kita tidak boleh membiarkan salah laku menjadi norma,” tegasnya.
Justeru katanya, semua pihak tidak boleh hanya bergantung kepada tindakan undang-undang sebaliknya memperkukuh budaya integriti dalam masyarakat.
"Dengan mencegah rasuah sejak awal, negara dapat mengelakkan kerosakan lebih besar. Ketua jabatan termasuk ketua setiausaha kementerian (KSU), ketua pengarah jangan gagal memantau pegawai bawahan.
"Kegagalan memantau bukan sahaja menunjukkan kelemahan pegawai bawahan tetapi juga mencerminkan kegagalan kepimpinan atasan,” katanya.
Ismail turut menasihati penjawat awam agar mengelakkan gaya hidup mewah yang tidak selaras dengan kadar gaji.
Katanya, gaya hidup melebihi kemampuan kewangan sebenar memberikan isyarat salah tentang sumber pendapatan dan boleh merosakkan imej peribadi serta organisasi.
"Sebagai penjawat awam, penting untuk menunjukkan ketelusan dan kejujuran dalam semua aspek kehidupan, agar tidak cetus budaya yang merugikan serta merosakkan nilai-nilai integriti dalam masyarakat dan tempat kerja,” katanya.