SHAH ALAM - Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) perlu melantik perunding bebas bagi melaksanakan audit forensik berhubung isu tadbir urus agensi itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Norhayati Nordin berkata, langkah itu bagi membolehkan sebarang bentuk salah urus atau penyelewengan dalam isu tersebut dapat dikesan dengan segera.
Menurutnya,satu pengumuman rasmi juga perlu dibuat secara terbuka bagi mendedahkan laporan audit berkenaan kepada orang awam.
"Ini amat penting kerana kita tidak mahu ketirisan itu berlaku. Jadi audit forensik itu sebenarnya adalah untuk mengesahkan ketelusan dalam tata kelola yang berlangsung di HRD Corp,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Julai lalu menyiasat HRD Corp susulan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024 berikutan ada beberapa keputusan diambil agensi itu didakwa tidak mematuhi prosedur dan menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat
Bagaimanapun Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Isnin mendedahkan siasatan SPRM mendapati tiada kesalahan dikesan dalam isu tadbir urus isu tadbir urus dalam agensi tersebut.
Menerusi laporan PAC itu, pegawai siasatan SPRM, Mohd Fuad Sedet, memberitahu Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, bahawa siasatan badan itu mendapati tiada kesalahan dilakukan di bawah Akta SPRM 2009.
Mengulas lanjut Norhayati berkata, rakyat berhak mengetahui perkembangan audit forensik yang dijalankan dan implementasi cadangan bagi kes tersebut.
"Daripada penemuan yang dibuat, penting dalam garis masa tertentu, menyebabkan satu tindakan mandatori boleh diambil untuk tata kelola diperbaiki serta dibaik pulih kepada keseluruhan badan berkenaan.
"Maknanya tata kelola dalam HRD Corp ini perlu diambil serius. Kita tidak mahu ia berlaku lagi pada masa akan datang,” ujar beliau.