Ahmad Zahid kekal bebas 40 kes rasuah VLN

Iklan
Ahmad Zahid (tengah) menunjukkan tanda bagus bersama barisan peguamnya, selepas Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Khamis, dimaklumkan AGC telah menarik balik rayuan atas pembebasannya bagi kes 40 pertuduhan menerima rasuah Syarikat UKSB berhubung Sistem VLN.

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kekal dilepaskan dan dibebaskan atas 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), di Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memberitahu, mahu menarik balik permohonan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Ahmad Zahid, 71, pada 23 September 2022 lalu.

Iklan
Iklan

"Setelah pendakwaan menarik balik rayuan-rayuan terhadap responden, dengan ini mahkamah membatalkan semua rayuan,” katanya yang bersidang bersama Hakim-hakim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim berkata, Ahmad Zahid selaku responden telah mengemukakan dua representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 26 Januari 2023 dan 7 Februari lalu.

Iklan

Yusaini Amer berkata, setelah meneliti keseluruhan kes, AGC mendapati tiada keterangan menunjukkan responden telah menggunakan jawatan, untuk menganugerahkan kontrak-kontrak itu.

Menurutnya, kontrak tersebut telah dianugerahkan sebelum responden menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri.

Iklan

Selain itu beliau berkata, berdasarkan dapatan Hakim Mahkamah Tinggi yang melepaskan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tersebut, sumber wang yang dikatakan diterima itu, tidak disiasat.

"Beberapa individu dikatakan menjadi sumber dana dari luar negara, turut tidak dipanggil ketika siasatan mahupun perbicaraan.

"Tiada juga bukti dikemukakan mengenai proses kemasukan tiga saksi ke kediaman responden,” katanya.

Beliau berkata, ia termasuk tiada keterangan yang menunjukkan wang telah diserahkan oleh saksi-saksi kepada responden.

Susulan itu beliau berkata, setelah mempertimbangkan dua representasi terbabit, dengan mengambil kira dapatan fakta hakim bicara, AGC mendapati ada asas undang-undang dan fakta yang kukuh untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

"Sehubungan itu, Peguam Negara menarik balik kesemua rayuan yang difailkan di sini,” katanya.

Pada Jun 2019, Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor atas 40 pertuduhan menerima rasuah daripada UKSB berhubung Sistem VLN.

Ia membabitkan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta (RM47.08 juta) daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN serta bagi mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1.15 juta (RM4 juta), RM3.125 juta, 15,000 Swiss Franc (RM79,000) dan AS$15,000 (RM70,200) daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Kesemua perbuatan didakwa dilakukan di dua lokasi iaitu Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 hingga Mac 2018.

Pada 23 September 2022, Presiden UMNO itu dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Timbalan Perdana Menteri itu.

Pada 29 Disember tahun lalu, pendakwaan memfailkan petisyen rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Ahmad Zahid daripada

40 pertuduhan menerima rasuah daripada UKSB untuk menyambung kontrak VLN dan Pusat Sehenti (OSC) di China.

Pendakwaan mengemukakan 14 alasan tertumpu kepada dapatan fakta dan undang-undang yang dibuat oleh Hakim, Datuk Mohd Yazid Mustafa, terhadap persoalan sama ada berlakunya pemberian dan penerimaan wang secara rasuah dalam kes itu.

Pendakwaan mendakwa, hakim itu terkhilaf daripada segi fakta dan undang-undang apabila memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan gagal menilai secara menyeluruh keterangan bagi membuktikan setiap elemen kesalahan dihadapi Ahmad Zahid selepas dibebaskan pada 23 September lalu.

Dalam kes ini, pendakwaan selaku perayu turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob dan Zander Lim Wai Keong.