SHAH ALAM - Juruterbang Malaysia Airlines (MAS) digalakkan untuk menggunakan teknik X-Wind Crabbing sewaktu mendarat sekiranya berdepan angin lintang.
Bekas Ketua Juruterbang MAS, Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, ia adalah kaedah yang betul sekiranya juruterbang berdepan situasi sedemikian asalkan masih mengambil kira risiko dan mematuhi keterbatasan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Menurutnya, tindakan dramatik juruterbang MAS baru-baru ini yang menggunakan pendekatan X-Wind Crabbing wajar dipuji kerana ia hasil latihan dan disiplin tinggi sewaktu belajar.
Bagaimanapun, jelasnya, sekiranya proses membuat keputusan itu melanggar laporan alam sekitar, individu tersebut perlu menjelaskan sebab kukuh kepada pihak atasan.
"Setiap pendaratan di mana-mana lapangan terbang mempunyai laporan alam sekitar meliputi suhu, titik embun, ketumpatan udara, kelajuan angin dan darjah penglihatan.
"Juruterbang akan menilai parameter yang mampu memenuhi SOP syarikat sebelum melakukan teknik tersebut.
"Kalau dia rasa boleh kawal pesawat memenuhi SOP, dia akan teruskan. Tetapi, jika keadaan tidak mengizinkan, juruterbang boleh pilih untuk batalkan pendaratan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Baru-baru ini, tular satu klip video memaparkan pesawat MAS mendarat dengan gaya seakan- akan ‘ketam’ di Lapangan Terbang Heathrow, London ketika ribut Darragh melanda Britain.
Tambah Nik Ahmad Huzlan, kebiasaannya terdapat dua faktor penentu untuk juruterbang membuat keputusan mendarat sedemikian rupa iaitu had persekitaran dan penilaian peribadi.
"Juruterbang tidak sepatutnya membuat keputusan di luar SOP kerana mereka boleh merisikokan nyawa penumpang dan pesawat,” ujarnya.