PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola harus mencari cara untuk kembali meningkatkan prestasi pasukannya selepas kekalahan 0-2 kepada Juventus dalam aksi Liga Juara-Juara yang menambahkan situasi kurang baik buat pasukan itu.
Kekalahan itu menyaksikan City tewas tujuh kali daripada 10 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.
Gol pemain Juventus daripada Dusan Vlahovic dan Weston McKennie menyebabkan The Citizens berada dalam keadaan tidak menentu dalam kedudukan Liga Juara-Juara untuk layak ke pusingan seterusnya.
City ketika ini menduduki tempat ke-22 dengan hanya lapan mata daripada enam perlawanan mereka setakat ini dan lawatan ke Paris Saint-Germain (PSG) memerlukan mereka meraih keputusan positif.
Bagi pemerhati bola sepak dan bekas pemain Manchester United, Rio Ferdinand, mengakui terkejut dengan persembahan dipamerkan City setakat ini.
"Kita tidak pernah melihat pasukan Pep Guardiola seteruk ini. Dia perlu mencari cara untuk membangkitkan pasukan ini.
"Tidak kira apa yang telah anda lakukan, sesiapa sahaja boleh hilang keyakinan dan ia boleh menjejaskan prestasi dan keputusan.
"Peminat City akan kecewa dan Guardiola serta pemainnya akan mahu memperbaiki perkara ini. Ada perkara positif untuk diambil oleh orang lain, tetapi untuk City terdapat banyak kerja di sebalik tabir sekarang.
"Ia adalah perjalanan yang bagus apabila ia berjalan lancar, tetapi siapa yang akan membantu anda kembali kepada normal apabila ia tidak berjalan dengan baik? Pep akan belajar banyak tentang pemainnya," katanya.