SHAH ALAM - Seramai lima pegawai dan anggota Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Penghargaan tersebut diberikan kerana anggota berkenaan menolak wang sogokan berjumlah RM50,000 daripada seorang ejen sindiket penyeludupan migran sewaktu menjalankan tugas Op Taring Wawasan Kelantan pada 9 Disember lalu.
Razarudin berkata, pihaknya merakamkan jutaan tahniah kepada pegawai dan anggota terbabit kerana sentiasa berpegang teguh dengan prinsip integriti ketika menjalankan tugas menjaga sempadan negara.
"Apa yang dilakukan ini (menolak rasuah) patut menjadi teladan buat rakan-rakan seperjuangan (warga pasukan).
"Ia supaya kita tak mudah terjerumus dengan perbuatan tidak bermaruah yang boleh merosakkan nama baik PDRM seterusnya masa depan kita," katanya menerusi hantaran dimuat naik PDRM di Facebook pada Rabu.
Individu yang diberi penghargaan terdiri daripada Asisten Superintenden (ASP) Mohd Norzahirudin Jufri, Inspektor Muhamad Hanif Abd Halim, Sarjan Osmizan Osman, Koperal Mohd Shariffuddin Sulaiman dan Koperal Wan Mohd Abbasi Wan Abdllah @ Wan Mamat.
Majlis yang diadakan di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman turut dihadiri Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Deputi Komisioner, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi serta Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid.
Menerusi operasi sepasukan polis dari Briged Tenggara bersama Batalion 9 PGA itu, seramai 16 pendatang asing tanpa izin warga Myanmar serta tiga tekong berjaya ditahan.
Wang sogokan RM50,000 tersebut dipercayai sebagai imbuhan kepada pihak polis agar tidak membuat tangkapan terhadap kesemua suspek terlibat.