Bekas MB Terengganu nafi pemilik Hospital Bersalin Razif

Iklan
Ahmad Razif

KUALA TERENGGANU - Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman menafikan beliau ialah pemilik Hospital Bersalin Razif (HBR) yang didakwa menahan jenazah bayi selama dua minggu kerana kegagalan ibu bapanya menjelaskan bil hospital.

Ahmad Razif menjelaskan persamaan nama menyebabkan ada sesetengah netizen yang salah faham sehingga mengaitkan dirinya dengan hospital tersebut.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Ahmad Razif berkata, beliau hanya memiliki sebuah Pusat Rehabilitasi Kuala Nerus dan bukannya sebuah hospital.

"Mohon bertenang semua. Bertalu-talu saya terima mesej dan komen di media sosial hari ini ramai pakat marah pada saya.

Iklan

"Saya bukan pemilik Hospital Bersalin Razif. Salah orang ni...Saya cuma ada Pusat Rehabilitasi Kuala Nerus sahaja," katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya di sini.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata, beliau tidak memiliki apa-apa kepentingan serta pemilikan saham dalam mana-mana hospital bersalin setakat ini.

Iklan

"Hospital bersalin tak ada lagi setakat ini. Mohon doalah semoga suatu hari nanti boleh buka hospital pula," ujarnya.

Sebelum ini, tular di media sosial apabila Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) yang dikenali sebagai Mr Wan Cai Official memuat naik hantaran di Facebook berkongsi mengenai jasad bayi lelaki yang ditahan dan dibekukan selama dua minggu di sebuah hospital sehingga mengundang pelbagai reaksi warga maya.

Wan Cai memaklumkan, UKVJ menghadapi masalah sewaktu menguruskan jenazah bayi bernama Muhammad Adham Mikail kerana jasad anak kecil itu beku sepenuhnya sehinggakan terpaksa menggunakan air panas untuk melembutkan semula tubuh dan sendi anak syurga terbabit.

Difahamkan, Muhammad Adham Mikail yang dilahirkan pada 24 November lalu mengalami sindrom siklop iaitu lahir dengan hanya satu mata, tiada hidung dan tanpa dubur.

Pada Rabu, HBR tampil memberikan respons berhubung kes jasad bayi lelaki yang ditahan dan dibekukan selama dua minggu gara-gara bapa dikatakan tidak mampu melunaskan bil hospital.

Pengurusan HBR berkata, pihaknya menafikan dakwaan menahan jasad bayi tersebut, sebaliknya membenarkan keluarga pesakit menuntut dan menguruskan pengebumian terlebih dahulu sebelum membuat pembayaran sebanyak RM2,480.

Susulan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) telah memulakan siasatan terhadap dakwaan sebuah hospital swasta di Selangor yang menahan jenazah bayi selama dua minggu kerana kegagalan ibu bapanya menjelaskan bil hospital.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, siasatan itu dilakukan oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS).