ULTRAS Malaya menyuarakan rasa tidak puas hati mereka kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Kumpulan penyokong itu yang kembali memberikan sokongan kepada Harimau Malaya, menaikkan kain rentang tertulis FAM dan MFL di takuk lama ketika perlawanan kedua Kumpulan A Piala ASEAN antara Harimau Malaya dan Timor-Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu.
Sebelum ini, mereka telah memboikot aksi Pestabola Merdeka yang berlangsung pada September lalu dengan alasan kepincangan dalam FAM menjadi punca utama mereka berbuat demikian.
Malah, Ultras turut menyifatkan keadaan situasi Liga Malaysia (Liga-M) yang huru-hara telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong.
Situasi tersebut bagi mereka mungkin belum diselesaikan oleh FAM dan MFL sekali gus menuntut perubahan dilakukan dalam badan induk bola sepak negara itu dan badan pengelola liga tersebut.
Aksi Piala ASEAN pada kali ini menyaksikan skuad Harimau Malaya beraksi dengan persembahan kurang meyakinkan apabila seri 2-2 dengan Kemboja pada perlawanan pertama di Phnom Penh sebelum terpaksa bergelut untuk meraih kemenangan ke atas Timor-Leste 3-2.
Piala ASEAN yang berlangsung ketika saingan liga masih berjalan menyaksikan skuad negara tidak mendapat pemain terbaik mereka untuk mengharungi kejohanan kali ini.
Malah, terdapat juga pemain yang sedang beraksi bersama pasukan negara dipanggil pulang oleh kelab untuk mengharungi saingan liga sebelum dilepaskan kembali untuk beraksi di Piala ASEAN.