KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga China berusia 84 tahun yang dilaporkan hilang di medan selera Suria KLCC, di sini, Ahad lalu, telah dijumpai di tepi Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, lelaki yang dikenali Xu Baolin itu dijumpai oleh seorang wanita pada lewat petang Rabu.
"Lelaki itu dijumpai dalam keadaan lemah serta terdapat kesan calar di mukanya, siasatan masih diteruskan dengan merakam keterangannya dan doktor yang merawat.
"Punca kehilangan dalam siasatan pegawai penyiasat setelah lelaki itu stabil untuk beri keterangan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pada Rabu, media melaporkan polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan lelaki warga emas itu.
Sulizmie Affendy dilaporkan berkata, polis menerima laporan berkaitan kehilangan Xu Baolin pada jam 11.42 pagi, Isnin.
Lelaki itu datang melancong ke Malaysia bersama keluarga dan ketika mengunjungi KLCC, dia ke medan selera bersama empat ahli keluarga.