PERSEMBAHAN dipamerkan Harimau Malaya ketika mencatatkan kemenangan tipis ke atas Timor-Leste dalam aksi kedua Kumpulan A Piala ASEAN di Stadium Nasional Bukit Jalil disifatkan amat memalukan.
Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim berkata, prestasi pemain negara amat mengecewakan apatah lagi bergelut untuk menang ke atas pasukan di ranking ke-196 dunia.
"Satu persembahan yang memalukan untuk bola sepak kita. Serba tidak menjadi buat pasukan kebangsaan dalam perlawanan tersebut dan pasukan Timor-Leste mudah untuk menghukum kealpaan kita.
"Menang memanglah menang, tetapi Harimau Malaya seharusnya lebih baik dari setiap aspek berbanding pasukan Timor-Leste.
"Ini tidak, pasukan negara macam hilang punca pada separuh masa pertama dan terpaksa bersusah payah untuk mendapatkan gol penyamaan dan kemenangan pada separuh masa kedua," katanya kepada Sukan Sinar.
Dalam perlawanan itu, Syafiq Ahmad membuka tirai jaringan pada minit ke-37 sebelum skuad negara dikejutkan dengan dua gol pantas daripada Olagar Xavier dan Joao Pedro pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Namun, Paulo Josue menyelamatkan maruah negara dengan dua gol pada separuh masa kedua untuk memastikan tiga mata berharga buat Malaysia.
Untuk rekod, Harimau Malaya tidak pernah berdepan kesukaran untuk menang mudah ke atas Timor-Leste dalam tujuh pertemuan sebelum ini.
Dalam pada itu, Irfan turut mengharapkan persembahan lebih baik dipamerkan skuad kendalian Pau Marti Vicente itu terutama dalam dua baki perlawanan menentang Thailand dan Singapura untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir.
"Banyak kelemahan yang kita nampak terutama di bahagian pertahanan yang mudah diambil kesempatan oleh pasukan lawan.
"Dua perlawanan terakhir ini terutama berdepan Singapura kita kena menang dan harapnya skuad negara mengambil iktibar dari dua perlawanan menentang Kemboja dan Timor-Leste ini," katanya.