KUALA LUMPUR - Kuala Lumpur bersedia mengambil peranan bersaing di peringkat antarabangsa pada abad ke-21 berlandaskan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040).
Memperincikan misi ke arah persaingan global dengan visi 'Bandar Untuk Semua', Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, PSKL 2040 merupakan dokumen mengandungi visi, hala tuju strategik dan tindakan untuk memandu pembangunan Kuala Lumpur bagi tempoh 20 tahun akan datang.
Menurutnya, PSKL pertama diwartakan pada 1984 manakala kedua dikenali PSKL 2020 pada 2004.
"Ia diteruskan pada 2 Januari 2018 dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memulakan kajian penyediaan Draf PSKL 2040.
"Kini, DBKL di peringkat mewartakan Draf PSKL 2040 untuk penyertaan dan pandangan awam," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, Draf PSKL 2040 merujuk kepada mengurus sumber dan menyesuaikan tindakan mengikut perubahan sosial, ekonomi dan alam sekitar untuk kepentingan generasi akan datang.
"Ia perlu selari dengan perancangan global yang berpaksikan pembangunan dan pengurusan bandar yang mampan bagi mencapai kualiti hidup bandar raya yang tinggi.
"Untuk ke arah itu, Draf PSKL 2040 menetapkan hala tuju pemajuan Kuala Lumpur mencapai keseimbangan dalam perancangan bandar dan mendepani cabaran dalam memenuhi keperluan penduduk serta kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya.
Pada masa sama, katanya, ia merujuk kepada penggunaan tanah pada jangka masa panjang dengan penyediaan infrastruktur dan perancangan pengangkutan serta penyediaan perumahan mampu milik.
"Tidak terkecuali persediaan pekerjaan masa hadapan, kemudahan awam dan rekreasi yang merupakan keperluan penduduk serta peningkatan kualiti alam sekitar dalam ruang bandar.
"Perancangan dan pembangunan Kuala Lumpur seterusnya memerlukan satu transformasi yang selari dengan aspirasi komuniti masa hadapan yang peka kepada perubahan teknologi, akses yang mudah kepada maklumat, mementingkan maklum balas dan pencapaian serta keseimbangan dan kualti dalam kehidupan harian," katanya.
Enam matlamat
Visi Kuala Lumpur 'Bandar Untuk Semua' akan tercapai dengan memberi fokus kepada enam matlamat yang digariskan.
Setiap matlamat tersebut adalah holistik bagi mencapai pelbagai agenda bersama dan kesinambungan aspek perancangan.
Matlamat itu ialah Inovatif dan Produktif, Inklusif dan Saksama, Sihat dan Vibran, Pintar Iklim dan Rendah Karbon, Mobiliti Cekap dan Mampan, Pembangunan Bersepadu dan Mampan.
Nor Hisham berkata, kesemua matlamat digariskan itu juga mencakupi aspek ekonomi, sosial, persekitaran hidup, alam sekitar dan perancangan fizikal.
Katanya, komuniti Kuala Lumpur juga dijangka lebih pelbagai dengan profil penduduk yang lebih inklusif dan saksama merangkumi semua golongan termasuk kumpulan yang terus diperkasakan.
"Transformasi ini adalah tepat pada masanya dan perlu dilaksanakan supaya selari dengan fokus perancangan negara dan dunia yang kini memberi penekanan terhadap perkongsian, inklusif dan kesamarataan.
"Beberapa aspek lagi perlu dipertimbangkan termasuklah persekitaran hidup dan alam semula jadi yang merupakan kerangka kesejahteraan komuniti," katanya.
Proses pelaksanaan
Terdapat 21 hala tuju strategik dan 71 tindakan akan diterjemah ke dalam dua tindakan pelaksanaan iaitu Pelan Pengurusan Bandar dan Pelan Pengurusan Spatial.
Nor Hisham berkata, proses penyediaan Draf PSKL 2040 memerlukan penyertaan awam selari dengan peruntukan Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982.
Katanya, pendekatan merancang itu dilakukan secara bersama masyarakat daripada peringkat awal lagi dengan mengutamakan perancangan yang menyeluruh serta tidak membelakangi mana-mana pihak atau ‘no one left behind’.
"Kaji selidik daripada pandangan awam, perbincangan kumpulan sasar, kerja teknikal dan wakil agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, persatuan penduduk, pertubuhan profesional dan institusi pengajian telah dijalankan pada semua peringkat kajian," katanya.
Kini Draf PSKL 2040 telah pun dihasilkan dan orang awam sekali lagi diberikan peluang untuk memberi pandangan dalam memperkemas draf pelan sebelum diwartakan.
Pameran draf PSKL 2040
Bagi memudahkan laporan diperiksa, pameran mengenainya akan diadakan selama sebulan bermula 18 Februari 2020 sehingga 18 Mac 2020.
Pameran utama akan berlangsung di lobi Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut dari pada jam 9 pagi hingga 5 petang setiap hari berkerja dan 9 pagi hingga 1 petang pada hari Sabtu.
Pameran Draf PSKL 2040 membolehkan orang ramai meneliti pelan tersebut dan mengemukakan pandangan pada borang yang disediakan.
Pandangan awam
Orang awam terutama warga kota dipelawa untuk memeriksa dan mengemukakan pandangan atau ulasan terhadap draf pelan ini melalui borang pandangan yang disediakan.
Borang-borang pandangan ini boleh didapati semasa menghadiri sesi pameran atau boleh terus mengisinya secara atas talian.
Semua pandangan yang diterima secara bertulis akan dipertimbangkan oleh jawatankuasa pendengaran pandangan awam yang akan dikendalikan oleh pakar-pakar perancangan bandar.
DBKL menjemput semua warga kota memberi pandangan, cadangan serta idea bagi membentuk Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040.
Semua pandangan, cadangan serta idea boleh disalurkan secara bertulis ke http://www.dbkl.gov.my/epandangan dan untuk maklumat lanjut berkaitan Draf PSKL 2040 sila layari http://www.dbkl.gov.my/klmycity2040 Kita Rancang KL 2040 Bandar Untuk Semua.