KUALA LUMPUR - Mana-mana petani dan penternak yang terjejas akibat banjir namun tidak memperoleh bantuan diminta menyalurkan maklumat terus kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penelitian akan dibuat oleh pegawai-pegawai di lapangan namun wujud kemungkinan berlaku kecicirian.
Justeru, beliau memberi komitmen memastikan mereka yang layak, mendapat bantuan dengan adil.
"Skim bantuan dijalankan secara teliti, ada pengadu sawah tenggelam, sayur musnah atau ternakan mati. Maka pegawai-pegawai akan membuat penelitian, setelah disahkan berlaku kerosakan, kemusnahan, maka KPKM akan cuba membantu.
"Kalau ada di mana-mana dilihat memang binatang ternakan, tanaman padi terjejas, tapi tak dapat bantuan, sila hantar maklumat itu kepada saya atau KPKM kerana dalam usaha kita, mungkin berlaku kealpaan, kita sedia bertindak memberi keadilan sebaik-baiknya.
"Macam banjir di Kedah baru-baru ii, belum pun kita selesai bagi bantuan sepenuhnya, datang banjir kedua, jadi bancian kedua perlu dibuat. Kita akan cuba kita cari penyelesaian terbaik.
"Kalau ada kebocoran sana sini, sila lapor jika tidak mengikut sistem dan keadilan yang ada," katanya pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkenaan indikator utama mengukur kelayakan bantuan kepada petani terjejas banjir, dan saluran aduan sekiranya berlaku kelewatan dan ketidakadilan dalam pengagihan bantuan.
Sementara itu, menjawab soalan asal bagaimana pihak kerajaan menangani isu kemungkinan ketirisan atau ketidakadilan dalam proses pemberian bantuan, Mohamad menjelaskan, bantuan pesawah hanya diberikan kepada pesawah yang berdaftar dan telah melepasi Jawatankuasa Penapis di peringkat Agensi Teknikal Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP).
"Seterusnya, semua permohonan bantuan akandinilai dengan teliti dan disahkan oleh Jawatankuasa di peringkat negerisebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Teknikal TBTP peringkat ibu pejabat.
"Permohonan juga perlu disertakan dokumenyang lengkap sebelum di bawa untuk penilaian dan diperakukan kepada Jawatankuasa Induk TBTP di KPKM," katanya.