BAGAN DATUK - Malaysia melangkah setapak lagi ke hadapan dalam transformasi digital negara apabila MARA Incorporated Sdn. Bhd. (MARA Inc.) dan FELCRA Berhad menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) bersama PRIVABYTES Sdn. Bhd. untuk pembangunan Pusat Data Tier IV di Bagan Datuk.
Majlis bersejarah ini dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan turut hadir menyaksikan detik penting ini ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Penandatanganan MOA disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MARA Inc., Ts. Mohd Fadzil Mohd Idris; Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Idris Lasim dan Ketua Pegawai Eksekutif PRIVASIA Technology Berhad, Datuk Puvanesan Subenthiran.
Projek ini bertujuan membangunkan sebuah pusat data bertaraf dunia di atas tanah milik FELCRA Berhad. Pusat Data Tier IV ini dijangka menjadi nadi kepada keperluan digital negara, memacu inovasi teknologi, dan merangsang pertumbuhan ekonomi menerusi penyediaan infrastruktur digital terkini.
Menurut kenyataan bersama, pembangunan pusat data ini dijangka memberi impak besar kepada ekosistem teknologi Malaysia. Ia akan menyediakan platform kukuh untuk sektor perniagaan dan komuniti terus berkembang dalam era digital, sekaligus meningkatkan daya saing negara di peringkat global.
Projek ini juga menawarkan peluang pekerjaan, pembangunan kemahiran, dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Dalam jangka panjang, ia dijangka memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi digital utama di Asia.
Dengan kerjasama ini, MARA Inc., FELCRA Berhad, dan PRIVABYTES menunjukkan komitmen mereka terhadap transformasi digital dan pembangunan ekonomi negara. Ia bukan sekadar satu pelaburan, tetapi langkah strategik untuk memastikan Malaysia terus maju dalam era digital global.