KWSP perkenal 3 tahap simpanan kehidupan bersara usia 60 tahun

Iklan
KWSP perkenal 3 tahap simpanan untuk kehidupan bersara pada usia 60 tahun - Gambar hiasan

SHAH ALAM - Seorang warga emas tanpa pasangan memerlukan kira-kira RM2,690 sebulan untuk mengekalkan taraf hidup yang munasabah semasa bersara.

Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pihaknya melancarkan panduan Belanjawanku 2024/2025 dan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) yang membolehkan ahli menetapkan sasaran simpanan mengikut gaya hidup serta aspirasi persaraan berbeza.

Iklan
Iklan

Menurutnya, RIA memperkenalkan tiga tahap kerangka simpanan iaitu Simpanan Asas, Simpanan Mencukupi dan Simpanan Dipertingkat.

"Rangka Kerja RIA dengan tiga tahap baharu akan disandarkan kepada Pendapatan Persaraan Mencukupi seperti ditentukan dalam Belanjawanku dari masa ke masa dan menggalakkan pengeluaran bulanan selama 20 tahun, sejajar purata jangka hayat di Malaysia.

Iklan

"Bagi Simpanan Asas (RM390,000) pengeluaran bulanan RM1,625 pada tahun satu, meningkat kepada RM4,434 menjelang tahun ke-20; Simpanan Mencukupi (RM650,000) membolehkan pengeluaran bulanan bermula pada RM2,708 pada tahun satu, meningkat kepada RM7,389 menjelang tahun ke-20.

"Simpanan Dipertingkat (RM1.3 juta) iaitu pengeluaran bulanan sebanyak RM5,417 di tahun satu, meningkat kepada RM14,779 menjelang tahun ke-20 untuk persaraan lebih selesa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Beliau memaklumkan, tahap simpanan RIA akan disemak setiap tiga tahun bermula 2029 menggunakan data terkini daripada kajian Belanjawanku agar sentiasa relevan dengan peningkatan kos.

Tambahnya, panduan Belanjawanku dan Rangka Kerja RIA merupakan tujuan asas KWSP dalam membina masa depan persaraan yang lebih baik untuk semua rakyat di negara ini.

"Panduan ini membantu rakyat Malaysia menghadapi cabaran dalam menguruskan perbelanjaan isi rumah, sementara KWSP menyediakan landasan untuk membina simpanan persaraan mencukupi.

"Dengan menyediakan gambaran komprehensif mengenai perbelanjaan bulanan dan memperkenalkan penanda aras simpanan baharu, kami berhasrat untuk membimbing ahli mencapai persaraan yang bermakna," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zulqarnain berkata, inisiatif ini menunjukkan komitmen utuh KWSP menyesuaikan organisasi dengan realiti sosioekonomi yang berubah-ubah dan kekal relevan selain memastikan tiada rakyat Malaysia ketinggalan dalam merancang masa depan.

Panduan Belanjawanku 2024/2025 boleh dimuat turun secara percuma menerusi laman sesawang KWSP di www.kwsp.gov.my dan aplikasi Belanjawanku di Apple App Store, Google Play serta Huawei App Gallery.