KKR dijangka belanja RM312.1 juta baiki jalan rosak akibat banjir

Iklan
Alexander (kiri) dan Ahmad Maslan diberi penerangan di salah sebuah reruai pada HPTN 2024.

BUTTERWORTH - Kementerian Kerja Raya (KKR) dijangka membelanjakan sebanyak RM312.1 juta untuk memperbaiki kesemua jalan raya yang rosak akibat banjir susulan gelombang pertama Monsun Timur Laut (MTL) pada November lalu.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penilaian tersebut dibuat setakat 11 Disember dan jumlah kos baik pulih itu dijangka meningkat lagi.

Iklan
Iklan

"Kementerian sedang menilai tahap kerosakan dan kos pembaikan jalan raya yang rosak kerana banjir akibat Monsun Timur Laut. Setakat semalam, untuk menyelenggara jalan Persekutuan, kita akan membelanjakan RM247 juta.

"Sementara untuk pembaikan cerun pada jalan Persekutuan berjumlah RM40.3 juta manakala bagi jalan negeri ialah RM24.8 juta.

Iklan

"Jumlah keseluruhan jangkaan perbelanjaan untuk kos pembaikan adalah RM312.1 juta. Dijangka ia akan meningkat lagi kerana masih ada gelombang kedua Monsun Timur Laut ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Profesion Teknikal Negara 2024 di Pusat Konvensyen PICCA di sini pada Khamis.

Alexander (kiri) merasmikan HPTN 2024 di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth.

Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan dan Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari.

Iklan

Mengulas mengenai bantuan banjir, Alexander berkata, KKR serta agensi di bawahnya telah menggerakkan Misi Bantuan Banjir Madani ke beberapa lokasi banjir yang telah dikenal pasti untuk diberikan bantuan.

Menurutnya, misi itu dilancarkan sejak seminggu lalu di Putrajaya.

"Kita telah melaksanakan misi bantuan sebelum ini ketika gelombang pertama dan untuk gelombang kedua, misi bantuan telah kita gerakkan pada minggu lalu. Misi bantuan ini kita lancarkan setiap tahun.

"Selain bantuan daripada segi bekalan, kita juga membantu daripada segi kerja pembersihan. Daripada pengalaman-pengalaman yang lalu, pada kali ini kita lebih bersedia malah Bilik Gerakan Bencana juga telah dibuka di lokasi yang dikenalpasti," tambahnya.

Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini meramalkan gelombang kedua banjir dalam tempoh dua minggu bermula Ahad, dengan Pahang dan Johor antara negeri yang dijangka turut terjejas dengan bencana itu kali ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, di Sabah dan Sarawak pula, banjir dijangka berlaku dalam tempoh penghujung bulan ini hingga Mac.

Alexander (tengah) menghadiri HPTN 2024 di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, sempena HPTN 2024, Alexander meminta golongan profesion teknikal di negara ini untuk menyiapkan sesuatu projek mengikut spesifikasi dan berkualiti tinggi dalam tempoh yang ditetapkan.

Beliau berkata, ia perlu tanpa 'extension of time' (EOT) dan mampu memberikan penjimatan kepada kerajaan, selari dengan penekanan Kerajaan Madani supaya tiada lagi ketirisan serta pembaziran sumber.

Mengulas lanjut, beliau menambah, Malaysia menerima banyak pelaburan khususnya untuk industri bersandarkan teknologi.

"Oleh demikian, profesion teknikal negara harus memiliki penguasaan bahasa yang tinggi terutama bahasa Inggeris, kemahiran komunikasi, pengurusan projek, penyelesaian masalah, pemikiran kreatif dan inovasi serta kepimpinan,"