ADAKALANYA kita berada dalam situasi memerlukan hinggakan jika sesiapa meminta wang atau bantuan ketika itu, agak ‘berat’ untuk kita berbuat demikian.
Apatah lagi andai disuruh bersedekah saat kita dalam kesulitan.
Ya, itulah yang dirasai oleh kebanyakan orang, tetapi ada juga insan tertentu sanggup menyerahkan apa dimilikinya meskipun dirinya tidaklah memiliki banyak duit ketika itu.
Menerusi perkongsian terbaharu Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi di akaun Facebook miliknya, beliau menceritakan kisah seorang lelaki yang bersedekah dalam keadaan dia kedekut dan masih memerlukan wang tersebut.
Lelaki itu katanya, mendapat pujian daripada Rasulullah SAW menerusi sebuah hadis yang bermaksud:
"(Sedekah yang paling besar ganjarannya ialah) Engkau bersedekah ketika sihat, sedangkan hatimu berasa sangat kedekut (untuk bersedekah), jiwamu sedang takutkan kemiskinan dan engkau bercita-cita mengharapkan kekayaan.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
"Menurut Imam An-Nawawi ketika menghuraikan hadis itu, manusia pada kebiasaannya akan berasa kedekut saat dia sihat dan bercita-cita menjadi kaya. Sebaliknya, mereka akan menyumbang ketika sakit dan telah memenuhi cita-cita masing-masing sahaja.
Dari satu sudut, ujar Dr Ahmad Sanusi, hadis tadi turut menunjukkan keperluan bagi seseorang untuk menunaikan hutang mereka saat sedang sihat dan hidup.
Demikian pandangan yang dinyatakan oleh Al-Imam Ibnu Hajar tentang nas berkenaan.
"Justeru, jangan tunggu sakit atau setelah mati, baru berharap si waris menyelesaikan hutang buat diri kita.
"Bantulah saudara-mara kita yang kesusahan. Begitu juga dengan orang di sekeliling kita sekiranya mereka memerlukan,” ungkapnya.