KUALA NERUS - Sebanyak 323 stesen pemancar telekomunikasi di seluruh negara terjejas akibat banjir dalam tempoh bermula November lalu hingga semalam.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 318 stesen pemancar telekomunikasi yang terjejas akibat bencana tersebut telah kembali pulih dan beroperasi, manakala lima lagi belum beroperasi.
"Berdasarkan angka yang terbaharu setakat semalam, secara keseluruhan sebanyak 323 menara telah terkesan sejak berlaku banjir.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 318 telah beroperasi semula dan lima masih belum beroperasi.
"Jumlah itu juga melibatkan sebanyak 264 stesen pemancar telekomunikasi di Kelantan, Terengganu (49), Pahang (sembilan) dan Johor (satu)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 bersama Siswa di Universiti Sultan Zainal Abidin di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, sebanyak 97 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terkesan.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 88 telah kembali beroperasi dan sembilan masih belum beroperasi.
Sementara itu, Fahmi berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan atau aduan berhubung berita palsu mengenai banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Beliau berkata, kebiasaannya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memadamkan kandungan berita palsu atau tidak tepat secara automatik.
"Kita risau dengan ledakan informasi dan maklumat di media sosial. Pengguna media sosial mungkin terlalu mudah untuk mempercayai sebarang maklumat yang disampaikan pada mereka.
"Jadi saya mohon supaya buat pengesahan berdasarkan laporan rasmi daripada media arus perdana.
Sekiranya tidak melihat perkara itu dilaporkan oleh mana-mana pihak maka jangan kita sebarkan maklumat itu. Tungggu pengesahan daripada pihak berkuasa dan media arus perdana (laporan berita)," jelas beliau.