Kes Zuraida: PKR akan fail rayuan ke Mahkamah Persekutuan

Iklan
Fuziah Salleh dan Zuraida Kamaruddin

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam masa terdekat berhubung keputusan Mahkamah Rayuan terhadap Naib Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin yang melanggar syarat bon.

Setiausaha Agungnya, Fuziah Salleh berkata, ia kerana PKR kekal dengan pendirian bahawa jumlah ganti rugi sebanyak RM10 juta yang dikenakan terhadap wakil rakyatnya yang melanggar syarat bon adalah munasabah.

Iklan
Iklan

Katanya, implikasi pelanggaran syarat bon itu bukan setakat mengakibatkan pemimpin lompat parti malahan tindakan terbabit boleh menjatuhkan sebuah kerajaan yang telah dipilih rakyat.

"Jumlah tersebut ialah nilai untuk menghalang pengkhianatan seseorang ahli Parlimen yang menang atas tiket PKR dalam pilihan raya.

Iklan

"Jadi PKR akan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mahkamah Rayuan Putrajaya terdahulu mengarahkan Zuraida hanya perlu membayar ganti rugi sebanyak RM100,000 berbanding RM10 juta, berhubung perlanggaran syarat bon parti itu yang mengikatnya kepada parti berkenaan.

Iklan

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk See Mee Chun memutuskan demikian selepas membenarkan sebahagian daripada rayuan Zuraida, 66, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkannya membayar RM10 juta.

Mengulas lanjut, Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan, semua calon wakil rakyat PKR menandatangani secara sukarela bon terbabit sewaktu mereka dipilih untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

"Maksudnya masa beliau (Zuraida) tanda tangan bon iaitu sebelum menerima watikah bertanding beliau dalam keadaan fikiran yang waras. Adakah waktu tersebut beliau hanya tanda tangan semata- mata kerana nak bertanding?

"Ini persoalan warga PKR terhadapnya. Kalau Zuraida rasa jumlah ganti rugi tersebut terlalu tinggi ketika itu beliau sepatutnya tidak wajar tandatangan bon berkenaan," ujarnya.