KANGAR - Elaun bilal, siak dan penjaga kawasan masjid di Perlis dinaikkan sebanyak RM200 bermula tahun ini melalui peruntukan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan, Pembangunan Insan dan Sumber Manusia Perlis Muhammad Azmir Azizan berkata, kadar baharu elaun bilal adalah RM650 sebulan manakala elaun siak dan penjaga kawasan masjid pula RM600 sebulan.
Iklan
Iklan
"Mengenai cadangan menaikkan kadar elaun imam dan pegawai masjid, kajian perbandingan pembayaran elaun imam dan pegawai masjid telah dijalankan dengan mengambil contoh model negeri-negeri di Zon Utara,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Saad Seman (Chuping-PN) ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks DUN di sini hari ini yang ingin tahu bila kerajaan negeri boleh meningkatkan elaun pegawai masjid bagi seluruh masjid di negeri itu.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Sains, Teknologi dan Inovasi Perlis Mohd Ridzuan Hashim berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan mewujudkan Pusat Sains dan Teknologi negeri ataupun Pusat Sains dan Teknologi Bergerak di Perlis.
"Insya-Allah, usaha ini.. kita akan menilai dan juga berfikir secara mendalam di atas keperluan mewujudkan Pusat-Pusat Sains bertempat di negeri ataupun bergerak di seluruh negeri Perlis,” katanya sebagai menjawab soalan tambahan Haziq Asyraf Dun (Beseri-PN).
Haziq Asyraf ingin tahu sama ada Perlis bersedia menubuhkan Pusat Sains dan Teknologi serta kesediaan menjadikan Pusat Sains itu sebagai elemen pelancongan seperti Pusat Sains di Kedah ataupun mewujudkan Pusat Sains dan Teknologi Bergerak sekiranya tiada tanah dan bangunan untuk penubuhan Pusat Sains berkenaan di Perlis. - Bernama