SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pusat Beli-Belah Alamanda di Putrajaya akan berwajah baharu dan dilancarkan semula pada 20 Februari depan.
Perkembangan itu dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC, Francis Tan ketika kunjungannya ke Sinar Harian bagi mengenali struktur pengurusan operasi akhbar ini pada Khamis.
Mengulas lanjut Francis berkata, pembangunan semula itu merupakan salah satu usaha pihaknya untuk memenuhi permintaan pelanggan terhadap pengoperasian pusat beli-belah tersebut.
"Ia akan berubah daripada pusat beli-belah Alamanda lama kepada baharu. Kami ingin tunjukkan kepada pengunjung, usaha yang diberikan kepada mereka untuk dinikmati.
"Kami buat apa yang pengunjung mahukan dan memberikan segalanya untuk mereka. Jadi saya berharap, mereka akan lebih teruja dan berpuas hati dengan pembaharuan ini,” katanya ketika ditemui selepas lawatannya di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin; Pengurus Besar Jualan Iklan, Airol Fadley Limin; Pengarang Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa dan Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin serta Pengurus, Komunikasi dan Perhubungan Awam Suria KLCC, Sherina Khairi.
"Saya sangat teruja untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Sinar Harian. Saya dapat melihat betapa besarnya peranan dan mesej yang boleh akhbar ini bawakan kepada masyarakat.
"Kami juga memerlukan rakan media untuk menyampaikan informasi dengan jelas daripada Suria KLCC kepada komuniti.
"Apa yang boleh saya katakan di sini, sudah tentu kami akan berhubung dan melihat kerjasama yang boleh dilakukan bersama Sinar Harian pada masa hadapan,” katanya.