TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kekal dilepaskan dan dibebaskan atas 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), di Mahkamah Rayuan, pada Khamis.
Berikut ialah kronologi kes Ahmad Zahid:
26 Jun 2019
Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara berjumlah S$4.24 juta (anggaran RM1=$S3.06 Singapura).
27Jun 2019
Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor atas 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM42.76 juta berhubung kes sama antara 2014 hingga 2017.
24 Mei 2021
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi prosiding perbicaraan kes hari pertama, di hadapan Hakim, Datuk Mohd Yazid Mustafa.
23 Jun 2021
Perbicaraan kes yang ditangguh susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kerana penyakit Covid-19, dijadualkan bersambung 5 hingga 7 Julai.
11 Oktober 2021
Mahkamah membenarkan Ahmad Zahid mendapatkan semula pasportnya untuk ke luar Negara bagi rawatan sakit belakang dan leher di Munich, Jerman.
23 Disember 2021
Perbicaraan kes yang ditetapkan pada 23 dan 24 Disember, telah dilapangkan susulan Timbalan Perdana Menteri itu dilaporkan tidak sihat.
9 Jun 2022
Pendakwaan meminda pertuduhan kedua kes ini, membabitkan pertukaran tarikh daripada April 2017 kepada 27 Mac 2018.
16 Jun 2022
Pendakwaan sekali lagi meminda pertuduhan ketiga kes, membabitkan pertukaran Euro 15,000 kepada 15,000 Swiss Franc.
26 Julai 2022
Mahkamah menangguhkan perbicaraan kes rasuah itu kerana seorang saksi yang sepatutnya hadir memberi keterangan, disahkan positif Covid-19.
29 Julai 2022
Mahkamah menangguhkan perbicaraan kes ini sekali lagi kerana saksi itu belum sembuh.
11 Ogos 2022
Pihak pendakwaan menutup kes itu.
1 September 2022
Pasukan pembelaan memulakan sesi hujahan lisan.
5 September 2022
Pihak pendakwaan menangkis hujah yang dibuat oleh barisan pembelaan Ahmad Zahid.
7 September 2022
Mahkamah menetapkan 23 September untuk keputusan sama ada Ahmad Zahid dibebaskan atau dipanggil membela diri atas pertuduhan kes tersebut.
23 September 2022
Presiden UMNO itu dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Timbalan Perdana Menteri itu.
29 Disember 2022
Pendakwaan memfailkan petisyen rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 pertuduhan menerima rasuah daripada UKSB untuk menyambung kontrak VLN dan Pusat Sehenti (OSC) di China.
26 Januari 2023
Ahmad Zahid mengemukakan representasi kepada AGC.
24 Ogos 2023
Pihak pembelaan memohon Peguam Negara (AG) menyegerakan keputusan representasi bagi mengkaji semua pertuduhan terhadap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ini.
17 November 2023
Mahkamah Rayuan menetapkan 18 Mac 2024 untuk mendengar rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Ahmad Zahid.
7 Februari 2024
Satu lagi representasi difailkan dengan membangkitkan isu dan bukti baharu.
30 Ogos 2024
Mahkamah Rayuan menjadualkan semula pendengaran rayuan pendakwaan ini daripada 9 September kepada 12 Disember kerana ahli politik itu akan menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri di luar negara.
12 Disember
Ahmad Zahid kekal dilepaskan dan dibebaskan atas itu, selepas pihak pendakwaan memberitahu, mahu menarik balik permohonan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Ahmad Zahid, 71, pada 23 September 2022 lalu.