KUANTAN - Projek paip agihan air dari Kemaman, Terengganu Ke Gebeng di sini yang kini siap sepenuhnya dijangka mampu menambah pengaliran air sehingga 90 juta liter sehari dengan kapasiti maksimum 115 juta liter sehari bagi memenuhi keperluan industri dan komuniti di sekitar kawasan itu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, saluran paip sepanjang 29.8 kilometer dari Tangki Bukit Kolam di Kemaman ke Tangki Gebeng Sentral B di sini dibina bagi memastikan bekalan air terawat yang konsisten dan mencukupi di kawasan Gebeng.
Menurutnya, pembinaan infrastruktur yang kritikal itu untuk bekalan air yang stabil bagi menampung permintaan air bersih yang dijangka meningkat kepada 466 juta liter sehari menjelang tahun 2025.
"Dengan siapnya projek ini, kita jangkakan lebih ramai pelabur datang untuk melabur di kawasan ini.
"Ia sekali gus merancakkan pertumbuhan dan limpahan ekonomi untuk kedua-dua negeri, Pahang dan Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir menyempurnakan perasmian dan penyerahan Projek Paip Agihan Air Dari Kemaman Terengganu ke Gebeng di Rumah Pam Penggalak Gebeng di sini pada Khamis.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Baidzawi Che Mat.
Wan Rosdy berkata, kadar harga air yang dibeli dari Terengganu itu bagaimanapun masih belum dimuktamadkan.
"Perbincangan masih berjalan antara kedua-dua negeri melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan Syarikat Air Terengganu (SATU).
"Terengganu meletakkan satu kadar dan kita minta kurang sikit namun terpulang kepada mereka untuk pertimbangkannya," katanya.
Dalam ucapanya sebelum itu, Wan Rosdy berkata, bagi memastikan permintaan bekalan air mencukupi pada masa akan datang, kerajaan negeri menerusi PAIP mempunyai perancangan jangka panjang bagi meningkatkan perkhidmatan bekalan air di daerah Kuantan terutamanya di kawasan Gebeng.
Beliau berkata, ia termasuk projek membina Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Puling berkapasiti 400 juta liter sehari yang akan menjadi loji air terbesar di pantai timur dan dijangka siap pada 2027.
"Status pembinaan LRA Bukit Puling itu setakat ini masih peringkat pra-pembinaan dengan kerja-kerja akhir oleh perunding dilantik dan proses tender dijangka pada akhir suku kedua 2025.
"Selain itu, PAIP kini juga dalam proses pembinaan tangki Gebeng dengan kapasiti 90 juta liter membabitkan peruntukan RM174 juta yang dijangka siap pada pertengahan 2026," katanya.