KUALA LUMPUR - Isu pembangunan tanah Kuala Lumpur di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disenaraikan sebagai salah satu daripada lima prosiding baharu yang akan dimulakan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tahun hadapan.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, prosiding isu baharu berkenaan dilaksanakan di bawah Peraturan Mesyuarat 77 (1)(d), dalam Mesyuarat Pertama,Penggal Keempat, Parlimen ke-15 yang akan berlangsung dari 3 Februari hingga 6 Mac 2025.
Menurutnya, turut tersenarai adalah Prosiding Pengurusan Lapangan Terbang di bawah Kementerian Kewangan Malaysia Airports Berhad (MAHB) dan Khazanah Nasional dan Pelaburan Domestik Khazanah Nasional Berhad di bawah Kementerian Kewangan dan Khazanah Nasional.
"Selain itu terdapat Prosiding Ekosistem Perkhidmatan Kesihatan Swasta, Mekanisme Pengawalan, Rangka Perundangan dan Kaedah Pembiayaan melalui Insurans Perubatan: Implikasi Kenaikan Harga Perkhidmatan Swasta kepada Hospital Kerajaan di bawah Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Bank Negara Malaysia.
"Prosiding bagi Perolehan kereta api elektrik secara pajakan selama 30 tahun bernilai RM10.7 bilion di bawah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Ekonomi, Perbadanan Aset Keretapi dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga akan laksanakan,"katanya ketika Sidang Media Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Parlimen pada Khamis.
Tambah Mas Ermieyati, dalam Mesyuarat Pertama itu juga, PAC akan membentangkan enam laporan iaitu Pengurusan Projek Bekalan Air Luar Bandar Sarawak dan Sabah; Komitmen Jaminan 1MDB; Pengurusan Pelaksanaan Projek MLFF; Perolehan sistem FWCMS; Pengurusan Air Negara dan Pengurusan Program Penanaman Padi.
"Selain itu, tiga prosiding Laporan Tindakan Susulan melibatkan Majlis Profesor Negara, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Pengurusan Mara Incorporated Sdn Bhd juga akan dibentangkan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat tiga isu tahun ini yang masih dalam siasatan PAC akan dibawa ke tahun hadapan iaitu iaitu Pengurusan Program Penanaman Padi dan isu Pengurusan Air Negara.
"Isu lain yang sedang disiasat PAC ialah Pengurusan Akaun Belum Terima Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM)," katanya.