PETALING JAYA - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) kini dalam proses akhir melengkapkan draf pindaan Akta Koperasi 1993 sebelum dibentangkan ke Kabinet bulan ini.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, kertas dasar cadangan pindaan itu juga telah diedarkan kepada semua kementerian dan maklum balas yang diterima sangat positif.
Menurutnya, di peringkat Parlimen pula, pindaan itu dijangka dibentangkan tahun depan.
"Tetapi, sebelum saya bentangkan (pindaan Akta Koperasi 1993) di Parlimen, saya terlebih dahulu akan mengadakan libat urus terakhir dengan pimpinan gerakan koperasi negara.
"Antara pemegang taruh terlibat ialah Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan dan juga ahli-ahli Parlimen sebagai pembuat dasar atau pembuat undang-undang negara.
"Saya tidak mahu ahli Parlimen terlibat selepas dibentangkan tetapi sebelum ia dibentangkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Tahun Koperasi Antarabangsa 2025 Peringkat Kebangsaan di Auditorium Angkasa di sini pada Khamis.
Hadir sama, Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dan tetamu kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ewon berkata, pindaan yang merangkumi 96 peruntukan asal dalam akta tersebut disusun semula dan ditambah baik bagi memperkasakan koperasi di negara ini.
Sementara itu, menyentuh mengenai gerakan koperasi di Malaysia yang memasuki usia lebih 100 tahun, Ewon mengakui ia mencapai perkembangan yang sangat baik.
"Kini, kita boleh berbangga dengan pencapaian gerakan koperasi di negara ini yang mana kini bilangan koperasi telah meningkat kepada 16,009 dengan keanggotaan seramai 7.2 juta anggota.
"Selain itu, gerakan koperasi negara juga telah mencatatkan perolehansebanyak RM33.1 bilion," ujarnya.
Beliau menambah, kejayaan gerakan koperasi menceburi pelbagai sektor ekonomi secara tidak langsung berupaya meningkatkan pengumpulan modal syer dan yuran kepada RM18.0 bilion dengan penjanaan aset berjumlah RM171.4 bilion.