Maqis Kedah rampas 700 kg buah longan tanpa perakuan sah

Iklan
Maqis Kedah merampas kira-kira 700 kg buah longan tanpa perakuan sah di Pintu Masuk Kota Putra Durian Burung pada Isnin. Foto Maqis Kedah

PADANG TERAP - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk 700 kilogram (kg) buah longan di Pintu Masuk Kota Putra Durian Burung pada Isnin lepas.

Pengarah Maqis Kedah, Hisham Abu Bakar berkata, hasil pemeriksaan rapi pasukan penguat kuasa mendapati buah longan dianggarkan bernilai lebih RM3,000 itu dibawa masuk tanpa perakuan 3P diwajibkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, tindakan terbabit merupakan pelanggaran serius di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Susulan itu, semua barang rampasan kini ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Iklan

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta 728,"katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Hisham menegaskan, tindakan tegas akan terus diambil untuk memastikan barangan pertanian diimport ke negara ini bebas daripada ancaman perosak dan penyakit berbahaya.

Iklan

Beliau menambah, kerjasama antara agensi penguatkuasa adalah kunci bagi memastikan kepatuhan kepada syarat dan peraturan ditetapkan untuk melindungi keselamatan serta kesihatan sektor pertanian negara.

Katanya, penguatkuasaan berterusan ini adalah sebahagian daripada usaha Maqis dalam mengekang kemasukan barangan pertanian secara haram yang boleh mengancam ekosistem dan kesejahteraan masyarakat.