IPOH - Aktiviti pembukaan tanah di kawasan hutan Kledang Saiong dekat Chepor di sini mencetuskan kebimbangan kalangan komuniti setempat memberi kesan banjir buruk dan tanah runtuh.
Kawasan penerokaan yang dimulakan sekitar empat tahun itu dikatakan semakin luas dan telah hampir dengan kawasan penempatan penduduk terutama Taman Chepor Indah dan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Batu 10 dengan jarak kurang 100 meter.
Setiausaha Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Hafizudin Nasarudin berkata, daripada pemantauan dilakukan, aktiviti pembukaan hutan melibatkan dua konsesi iaitu blok utama masing-masing di bahagian selatan dan utara Chepor.
Menurutnya, dengan pembukaan tanah agak tinggi sekitar 30 ke 45 darjah, keadaan itu boleh mengundang berlakunya mendapan tanah dan tanah runtuh yang teruk serta banjir lumpur jika hujan berterusan.
"Dengan aktiviti pembukaan tanah tidak terkawal, dikhuatiri akan menyebabkan mendapan di sungai utama, tercemar daripada efien tanah, keadaan sungai semakin cetek dan melimpah lalu akan menyebabkan kejadian banjir terutamanya di kawasan Lembah Kinta.
"Berdasarkan rekod lepas, Kampung RPT Batu 10 dan Taman Chepor Indah pernah terjadi peristiwa banjir akibat pembukaan tanah tidak terkawal daripada aktiviti pertanian dan penarahan bukit," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Beliau berkata, pada tahun 2020 lalu, protes besar-besaran telah dilakukan penduduk mendesak kerajaan negeri menghentikan aktiviti penarahan bukit di kawasan tersebut.
Katanya, projek itu yang diberi milik kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) kemudiannya telah diarahkan berhenti serta-merta.
"Namun selepas beberapa tahun, projek ini disambung semula. Kuasa akan mendapatkan perincian mengenai status projek ini.
"Untuk tempoh ini, kita menggesa supaya aktiviti ini dikawal dan jika boleh dihentikan. Kerja-kerja pemulihan pinggir bukit wajar dilakukan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.
Sementara itu, penduduk, Mohamed Azhar Shah Zainal Arif, 35, berkata, meminta kerajaan negeri memandang serius perkara itu sebelum kejadian bencana alam terjadi dengan lebih teruk.
"Kami dah bertahun risau lihat keadaan bukit di hutan Kledang Saiong ini.
"Penduduk beli rumah untuk menikmati pemandangan indah dan suasana yang tenang, tetapi kini seolah-olah tinggal di kawasan perlombongan dan pembalakan," katanya.
Untuk rekod, hutan Kledang Saiong merupakan kawasan hulu sungai bagi Sungai Chepor dan anak sungai lain akan memasuki ke Sungai Pari dan Sungai Kinta yang melalui sepanjang banda raya Ipoh.