SHAH ALAM - Personaliti media sosial dan usahawan terkenal, Khairul Aming berkongsi perkembangan terbaharunya yang sudah dibenarkan keluar hospital.
Menerusi hantaran di Instagram Story, Khairul Aming atau nama penuhnya Khairul Amin Kamaruzaman memaklumkan bahawa dia terkena jangkitan virus yang dikenali sebagai E.coli semasa melakukan bantuan banjir pada minggu lepas.
"Baru lepas keluar dari hospital. Rupanya terkena jangkitan E.coli masa buat bantuan banjir minggu lepas.
"Teruk juga diarrhea (cirit-birit) selama lima hari tak berhenti sampai badan lesu dehidrasi," katanya.
Pada masa yang sama, dia juga memanjatkan kesyukuran kerana sudah sembuh sepenuhnya.
"Alhamdulillah sekarang dah sembuh dan boleh sambung kerja macam biasa," kongsinya.
Khairul Aming sebelum ini dikejarkan ke hospital sejak pulang daripada Misi Bantuan Orang Baik di Kelantan beberapa hari yang lepas.
Dia mengetuai pasukan itu dan bertungkus lumus selama kira-kira seminggu untuk membantu mangsa banjir yang terjejas.
INFO E. COLI
- Escherichia coli (E.coli) adalah sejenis bakteria, yang biasanya hidup di usus orang dan haiwan yang sihat.
- Sebilangan besar jenis E.coli tidak berbahaya atau menyebabkan cirit-birit yang agak singkat. Tetapi beberapa strain, seperti E.coli O157: H7, boleh menyebabkan kekejangan perut yang teruk, cirit-birit berdarah dan muntah.
- Cara paling biasa untuk mendapatkan jangkitan E.coli adalah melalui air dan makanan yang tercemar serta jangkitan orang ke orang terutamanya apabila orang dewasa dan kanak-kanak yang dijangkiti tidak mencuci tangan dengan betul.
- Tanda dan gejala jangkitan E.coli O157: H7 biasanya bermula tiga atau empat hari selepas terdedah kepada bakteria. Tetapi anda mungkin jatuh sakit hanya setelah satu hari.
- Hubungi doktor anda jika cirit-birit anda berterusan, teruk atau berdarah.