Penuntut Malaysia di Syria patuh tidak keluar rumah, asrama

Iklan
Penduduk Syria menumbangkan patung bekas Presiden Hafez al-Assad semasa meraikan rampasan kuasa di Damsyik. Foto Agensi (Gambar kecil: Zulkifli)

TUMPAT - Penuntut Malaysia di Syria mematuhi arahan tidak keluar rumah atau asrama selepas kumpulan pemberontak menawan ibu kota, Damsyik sekali gus menjatuhkan kerajaan pimpinan Bashar al-Assad sejak Ahad lalu.

Presiden Pertubuhan Kebajikan, Muslim Care Malaysia (Muslim Care), Zulkifli Wahijan berkata, beliau yang berhubung dengan beberapa penuntut terbabit melalui WhatApps turut dimaklumkan mereka memilih untuk kekal berada di negara ini sehingga arahan lanjut dikeluarkan oleh Konsulat Malaysia di Syria.

Iklan
Iklan

"Kebanyakan penuntut kita tinggal di kawasan selamat dalam Kota Damsyik, sekumpulan di asrama yang disediakan kerajaan Syria manakala sebahagian lagi menyewa beberapa rumah di ibu kota itu.

"Mereka mengambil langkah untuk tidak keluar rumah sepertimana disarankan oleh kerajaan Syria dan juga Kedutaan Malaysia selain tidak menyatakan hasrat untuk pulang ketika ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penerimaan dan Pengagihan Bantuan Banjir oleh FGV Holdings Bhd (FGV) di Pantai Seri Tujoh di sini pada Khamis.

Iklan

"Semua rakaman tidak boleh disebarkan atas faktor keselamatan.

"Mereka juga dinasihatkan supaya mereka mengelak memasuki kawasan yang menjadi lokasi serangan,” ujarnya.

Iklan

Sementara itu, Exco Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, tiada penuntut Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Syria.

Api dan kepulan asap tebal memenuhi ruang udara selepas IDF memperhebatkan serangan udara hingga awal pagi Selasa lalu. Foto Agensi

Kata beliau, bagaimanapun pihaknya masih menunggu laporan rasmi daripada Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia untuk mengetahui perkembangan semasa keseluruhan 79 warga negara Malaysia termasuk 37 penuntut di Syria.

"Saya dimaklumkan keadaan pelajar dan rakyat Malaysia di sana selamat.

"Kebiasaan pergolakan hanya melibatkan rakyat Syria sendiri dan rakyat kita diberikan perlindungan dalam situasi sebegini dengan tindakan awal oleh pihak Kedutaan Malaysia,” kata beliau.

Sebelum ini, media melaporkan pemerintahan Baath di Syria selama 61 tahun tumbang apabila Damsyik jatuh daripada kawalan pemerintah.

Selepas pertempuran sengit bermula 27 November lalu, pemerintah kehilangan kawalan ke atas banyak kawasan termasuk Aleppo, Idlib dan Hama.