PERAI - Zakat Pulau Pinang (ZPP) mengutip sebanyak RM3.83 juta bagi bayaran zakat perniagaan pada tahun 2023 yang melibatkan 13 institusi korporat.
13 institusi tersebut ialah Koperasi Tunas Muda Sungai Ara (RM961,069), Co-op Bank Pertama Malaysia Berhad (RM595,455), RHB Islamic Bank Berhad(RM400,000), Bank Muamalat Malaysia Berhad (RM332,710), CelcomDigi Bhd (RM322,690), Bank Islam Malaysia Berhad (RM296,000), AEO Freight Sdn Bhd (RM218,000), Agro Bank (RM200,000), UDA Holding Bhd (RM170,128), Syarikat Hang Tuah Sdn Bhd (RM156,562), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (RM156,350), Affin Islamic Bank Berhad (RM100,000) dan Perda Ventures Incorporated Sdn Bhd (RM95,665).
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, pembayar-pembayar zakat korporat terdiri daripada syarikat, institusi perbankan serta koperasi dan majikan-majikan daripada pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun dan swasta.
Menurutnya, kesemua pembayar zakat korporat sentiasa komited menunaikan zakat kepada ZPP sejak 1995 hingga 2024 melalui skim potongan zakat bulanan yang kini dikenali sebagai Skim Sakinah ZPP.
"Pada tahun 2023, prestasi ekonomi negeri Pulau Pinang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.3 peratus dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). Ia meningkat sebanyak RM3.7 billion berbanding pada 2022.
"Data ini telah menunjukkan ekonomi Pulau Pinang berada pada landasan kukuh dan menjaminkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor terutama sektor pembuatan dan teknologi tinggi," katanya pada Majlis Serahan Zakat Korporat & Apresiasi Majikan Skim Sakinah ZPP dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) 2024 di sini pada Khamis.
Mohamad menambah, kerajaan negeri amat optimis dengan pelbagai insiatif dalam Belanjawan 2025 yang berpaksikan kepada kemakmuran ekonomi rakyat.
"Ia akan membuka lebih banyak peluang ekonomi, pekerjaan dan memperkukuhkan sosioekonomi ummah bagi memastikan setiap lapisan masyarakat khususnya umat Islam negeri ini dapat menikmati kemajuan yang inklusif dan menyeluruh.
"Menerusi Visi Penang 2030 dan peruntukan Belanjawan 2025, kerajaan negeri akan menumpukan fokus kepada penjanaan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan elektrik dan elektronik, reka bentuk 'intergrated circuit', teknologi perubatan, 'digital district’ dan ekonomi baharu," ujarnya.
Beliau berkata, kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang dikecapi ini menjadi agenda penting kerajaan negeri untuk menyokong pembangunan ekonomi dan sosial institusi-institusi yang berkepentingan kepada rakyat Pulau Pinang.
"Saya berharap ZPP dapat menggerakkan agenda sosioekonomi rakyat khususnya masyarakat Muslim di Pulau Pinang dengan strategi-strategi baharu dakwah zakat dengan mempelbagaikan kaedah pembayaran dan pengagihan zakat yang efektif dan efisien seiring dengan kemakmuran ekonomi di Pulau Pinang.
"Saya percaya peningkatan kutipan zakat akan memainkan peranan yang cukup penting dalam membantu penyediaan dana agihan zakat kepada golongan yang memerlukan untuk menjamin kemakmuran hidup masyarakat Muslim di Pulau Pinang pada masa hadapan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali berkata, Majlis Serahan Zakat Korporat & Apresiasi Majikan Skim Sakinah ZPP dan MAINPP 2024 diadakan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan daripada ZPP kepada pembayar zakat korporat dan majikan dari sektor kerajaan serta swasta di Pulau Pinang.
Menurutnya, sebanyak 57 majikan akan menerima plak kerana komited membayar zakat dan membuat bayaran potongan gaji menerusi Skim Sakinah.
"Terima kasih kepada kerajaan Pulau Pinang yang terus memberikan mandat kepada ZPP untuk melaksanakan fungsinya berkhidmat menjaga amanah pembayar zakat dan membela hak golongan asnaf dengan penuh gigih dan prihatin.
"ZPP akan memastikan agenda sosio-ekonomi ummah akan menjadi lebih berdaya saing, mampan dan inklusif di Pulau Pinang seiring dengan agenda Malaysia Madani dan Visi Penang 2030," katanya.
Dalam pada itu, Amran mengumumkan Maybank Islamic Berhad akan memeterai lantikan sebagai rakan strategik ZPP dalam menyediakan platform saluran pembayaran secara tanpa tunai bagi pembayaran zakat.