Kerajaan Madani mesra perniagaan

Iklan
Azmi (dua dari kanan) ketika menjadi penalis Wacana Khas edisi 468 bertajuk ‘Dua Tahun Madani: Ke Mana Ekonomi dan Potensi Malaysia’ yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian bertempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis. - FOTO: SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID.

SHAH ALAM - Dasar ekonomi Kerajaan Madani dilihat lebih mesra perniagaan lebih-lebih lagi terhadap golongan usahawan tempatan meskipun baharu dua tahun mengambil alih tampuk kepimpinan.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Operasi dan Pemasaran Farm Fresh Sdn Bhd, Azmi Zainal berkata, rakyat perlu memberikan lebih banyak masa dan sentiasa positif terhadap usaha dan penambahbaikan daripada kerajaan.

Iklan
Iklan
Azmi - FOTO: SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID.

Menurutnya, polisi dan dasar yang diperkenalkan kini tidak jauh berbeza dengan kerajaan sebelumnya melainkan hanya dari segi pertukaran terma, angka atau penjenamaan semula.

"Kalau kita tak sokong kerajaan sedia ada, mungkin tiada kestabilan dan susah untuk kerajaan merancang ekonomi lebih baik buat negara serta rakyat.

Iklan

"Secara peribadi, saya memberikan markah tujuh per 10 kepada kerajaan, maknanya ada ruang sekitar tiga per 10 untuk memperbaiki dan meningkatkan (kualiti).

"Barisan menteri pun masih baharu dan belum banyak pengalaman, beri mereka peluang," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika Wacana Khas edisi 468 bertajuk ‘Dua Tahun Madani: Ke Mana Ekonomi dan Potensi Malaysia’ yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian bertempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis.

Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut dibarisi panelis hebat seperti Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Azmi turut memaklumkan, harga import bahan makanan untuk ternakan sentiasa meningkat dan umum mengetahui ia sukar dikawal, lebih-lebih lagi dengan keadaan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) yang tidak menentu.

Justeru, beliau berpandangan, kerajaan perlu mengambil peluang untuk meningkatkan penghasilan bahan makanan buat ternakan kerana ia sekali gus mampu mengurangkan kebergantungan import.

"Negara masih lagi kurang tentang penghasilan makanan untuk ternakan dan ini satu ruang yang sepatutnya diberi fokus oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

"Saya nampak KPKM dah usaha bersungguh-sungguh, tetapi harga import memang tak boleh kawal. Tambahan pula harga dolar AS naik turun, ia memberi kesan kepada margin.

"Ada perkara kita boleh kawal, ada yang tak boleh kawal. Jadi, itulah pentingnya ada syarikat tempatan kerana boleh bantu kerajaan, begitu juga sebaliknya," ujarnya.

Ditanya mengenai sasaran jualan Farm Fresh, Azmi yang mesra digelar 'Boss Susu' memaklumkan, pihaknya sedang menggembleng usaha untuk meningkatkan hasil agar mencapai RM1 bilion memandangkan kini sudah berjaya mencecah RM810 juta.

Tambahnya, menggunakan media dan publisiti untuk meluaskan jenama antara pendekatan berkesan yang diambil sejak 2019 walaupun sudah lama melebarkan empayar sejak 2010.

"Pertama sekali, pastikan produk kita berada di seluruh tempat khususnya luar bandar. Jadi, kami wujudkan 'MicroPreneur' supaya jenama Farm Fresh dikenali sehingga pelusuk kampung, ejen-ejen terdedah dengan media sosial dan mempromosikan produk.

"Selepas 2019, barulah Farm Fresh mula menaja satu program realiti hiburan. Sebelum taja, perolehan kami RM360 juta sahaja, tetapi sekarang dah RM810 juta.

"Insya-ALLAH selepas ini kami sasar RM1 bilion. Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong syarikat tempatan seperti Farm Fresh," katanya.