Tiada siapa boleh nafikan Anwar PM kelapan, kata Khalid

Iklan
Khalid bergambar bersama penduduk Perumahan Awam Seri Perak Sentul pada majlis perasmian Kempen Kita.

KUALA LUMPUR - Tiada pihak yang boleh menafikan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah bakal perdana menteri kelapan, kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad.

Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, perkara tersebut telah dipersetujui dan akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Iklan
Iklan

"Majlis presiden akan bertemu, berbincang dan memutuskan perkara ini secara bersama.

"Saya rasa perkara ini tak perlu dipolitikkan kerana sepertimana majlis presiden menetapkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai PM (perdana menteri), majlis presiden juga akan menentukan tempoh peralihan itu," katanya pada majlis perasmian Kempen Kita di Perumahan Awam Seri Perak Sentul, hari ini.

Iklan
Khalid menyampaikan bantuan makanan kepada salah seorang penduduk Perumahan Awam Seri Perak pada majlis perasmian Kempen Kita.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan media berhubung pendirian Dr Mahathir yang akan melepaskan jawatan sebagai perdana menteri selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Katanya, tempoh peralihan itu dijangka berlaku pada bila-bila masa selepas tempoh dua tahun.

Iklan

"Benda ini dah dipersetujui dan diketahui umum, hanya masa sahaja belum ditetapkan tapi dalam lingkungan dua tahun.

"Apabila dikatakan dua tahun, waktunya adalah pada bila-bila masa dari sekarang seperti 'antara zohor dengan asar' janji tidak melebihi tiga tahun," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Ada muslihat licik, tapi Tun M tetap pegang pada janji'

Terdahulu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuat naik hasil perbincangan pertemuannya bersama Dr Mahathir di akaun Twitter peribadinya.

Menurut Anwar, dalam pertemuan itu, beliau membangkitkan isu peralihan kuasa susulan terdapat laporan yang menyebut ada usaha daripada Pas, UMNO dan PKR yang dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan Akuan Bersumpah (SD) menyokong kepimpinan Dr Mahathir sehingga akhir penggal.