SHAH ALAM - Kerajaan dinasihatkan agar memperkasakan sektor agromakanan kerana ia berpotensi menjanjikan pulangan yang tinggi dan mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, jika dilihat tahun demi tahun, defisit imbangan bagi sektor agromakanan semakin melebar.
"Tahun lepas import melebihi eksport sekitar RM75 bilion, kemudian kita tengok tahap sara diri, produk tenusu 58 peratus sahaja selebihnya kena import. Daging 22 peratus manakala cili 30 peratus.
"Jadi, boleh dilihat sektor agromakanan menjanjikan satu pulangan yang tinggi. Kalau Malaysia import agromakanan secara kolektif dan dapat selesaikan 10 peratus dari RM75 bilion ini, kita berpotensi jana hasil sekitar RM8 bilion.
"Jika kita asyik lihat masalah sahaja, tak betullah sebab masalah mewujudkan peluang. Bukan itu sahaja, sektor ini banyak memberikan kesan positif lebih-lebih lagi dengan penggunaan teknologi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Wacana Khas edisi 468 bertajuk ‘Dua Tahun Madani: Ke Mana Ekonomi dan Potensi Malaysia’ yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian, bertempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Khamis.
Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut dibarisi panelis hebat seperti Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan Ketua Pegawai Operasi dan Pemasaran Farm Fresh Sdn Bhd, Azmi Zainal.
Meskipun sukar untuk menjadikannya realiti, Mohd Afzanizam berpandangan, sektor agromakanan memerlukan penjenamaan yang mantap contohnya melibatkan penggunaan teknologi moden bagi menarik minat anak muda menceburi industri berkenaan agar boleh 'buat duit'.
Tambahnya, berdasarkan data pasaran pekerjaan, peratusan golongan yang bekerja sendiri semakin meningkat.
"Sekarang ini sekitar 3.1 juta orang yang bekerja sendiri, maksudnya ramai berminat menceburi bidang perniagaan tetapi perniagaan yang macam mana? Itu perlu dididik dan diberikan saluran," ujarnya.