KUALA TERENGGANU - Pas Terengganu tidak mengetahui isu sebenar di sebalik peletakan jawatan secara mengejut, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) seperti yang diumumkan pada Rabu.
Penolong Setiausaha Badan Perhubungan Pas Terengganu, Hanafiah Mat berkata, beliau mengetahui perkara itu menerusi maklumat diterima melalui WhatsApp selain tidak mempunyai maklumat lanjut berhubung peletakan jawatan tersebut.
"Kami di peringkat negeri langsung tak tahu cerita yang berlaku.
"Tak boleh nak komen langsung sebab kita tak tahu. Tahu pun (isu peletakan jawatan) dari WhatsApp.
"Sememangnya tak ada maklumat langsung tentang peletakan jawatan tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Hanafiah juga enggan mengulas tentang pergolakan yang berlaku dalam PN antara punca peletakan jawatan Ahmad Samsuri sebagai Bendahari Agung dalam gabungan tersebut.
"Tak tahu...tak boleh nak komen," jawabnya secara ringkas.
Pada Rabu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, mengesahkan Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas telah mengemukakan peletakan jawatannya sebagai Bendahari Agung PN namun enggan mengulas lanjut perkara itu.
Ahmad Samsuri melepaskan jawatan sebagai Bendahari Agung PN dan pengumuman mengenainya juga dibuat menerusi satu kenyataan ringkas kepada barisan kepimpinan Pas Pusat.
Beliau juga dikatakan telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada pihak pengurusan PN.
Tindakan Ahmad Samsuri itu mengejutkan banyak pihak dan menyusul selepas mesyuarat tertinggi PN Isnin lalu, mengesahkan jawatankuasanya yang baharu termasuk melantik Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke jawatan sama bagi PN.
Sebelum ini, beberapa pemimpin PN seperti Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau saling berbalas kenyataan berhubung calon perdana menteri gabungan itu untuk Pilihan Raya Umum Ke-16.
Ahmad Samsuri antara nama yang disebut-sebut sebagai calon berpotensi sebagai perdana menteri dan ia turut dinyatakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil Kemaman pada tahun tahun lepas.