Kerajaan rancang jual tenaga boleh diperbaharui kepada ASEAN

Iklan
Lih Kang

SHAH ALAM - Kerajaan menyasarkan untuk menjual tenaga boleh diperbaharui menerusi usaha mewujudkan inisiatif 'ASEAN Hijau' sempena kepengerusian Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, perbincangan mengenai usaha mewujudkan inisiatif berkenaan sedang dilakukan.

Iklan
Iklan

"Negara kita dapat jual tenaga boleh diperbaharui kepada Singapura atau negara-negara jiran yang lain. Sekarang (kerajaan Persekutuan) juga tengah bincang dengan Sarawak untuk muktamadkan (mengenai perkara berkait tenaga boleh diperbaharui).

Lih Kang (dua dari kiri) menyentuh mengenai tenaga boleh diperbaharui pada Wacana Khas Edisi ke-468 bertajuk Dua tahun Madani: Ke mana ekonomi dan potensi Malaysia yang disiarkan di Facebook Sinar Harian pada Khamis.

Wacana berkenaan turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Ketua Pegawai Operasi dan Pemasaran Farm Fresh Sdn Bhd, Azmi Zainal dan Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid serta dihoskan Ismail Adnan.

Iklan

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Tanjong Malim itu berkata, dasar-dasar lain seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) turut dilakukan kerajaan bagi merancakkan ekonomi supaya Malaysia menjadi negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

Beliau menjelaskan, menjelang kepengerusian ASEAN juga, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sangat menonjol dan terkenal di persada global sekali gus dapat meningkatkan martabat negara serta menjadikan pelabur lebih yakin terhadap Malaysia.

Iklan

Menurutnya, sejak Anwar memimpin negara, kerajaan telah melakukan beberapa usaha untuk merancak atau memulihkan ekonomi pasca Covid-19 termasuk menstabilkan semula politik.

"Sebelum ini keadaan politik terutama politik domestik tak ada kestabilan maka semua orang tak dapat fokus dalam membangunkan ekonomi (hingga) pelabur asing tak nak masuk dan penjawat awam tak dapat nak fokus kerja mereka.

"Jadi kestabilan politik antara benda pertama yang dilakukan kerajaan. Kita juga tarik pelaburan asing masuk. Itu sangat penting untuk ekonomi negara kita kerana negara amat bergantung kepada pelaburan asing," ujarnya.

Kata beliau, usaha yang dilakukan kerajaan berhasil apabila negara merekodkan peningkatan pelaburan yang diluluskan kepada RM329.5 bilion pada tahun lalu sekali gus menjadi angka pelaburan diluluskan paling besar sejak negara mencapai kemerdekaan.