LUMUT - Penduduk dan pengunjung di persekitaran Pantai Teluk Batik diminta berwaspada susulan kehadiran seekor buaya di perairan itu pada Khamis.
Maklumat kehadiran reptilia tersebut diterima menara penyelamat pantai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada jam 1.09 petang.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Manjung, Norazlan Turiman berkata, empat anggota pasukan penyelamat pantai telah digerakkan bagi tujuan rondaan dan pemantauan.
"Sekitar jam 2.24 petang, pasukan rondaan menerima maklumat daripada satu rakaman video penampakan buaya tersebut berada berdekatan dengan jeti milik syarikat Vale Mineral (Malaysia) Sdn Bhd (Vale) di Teluk Rubiah.
"Tinjauan dilakukan mengesahkan bahawa reptilia itu berada berkeliaran di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi pemberita di sini.
Sementara itu, Pengarah Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, setakat operasi dijalankan, buaya berkenaan belum ditangkap.
"Perhilitan menerima maklumat kes itu sekitar jam 5 petang tadi. Buat masa ini kita lakukan pemantauan dahulu, belum ada tangkapan," katanya.
Kehadiran buaya tersebut sempat dirakam dan videonya tular di media sosial.
Warganet menyifatkan kelibat buaya di perairan tersebut bukan sesuatu yang baru kerana pada 2017, orang ramai pernah merakam reptilia itu di Teluk Rubiah iaitu kira-kira 2 kilometer dari pantai peranginan awam Teluk Batik.