Polis tahan dua lelaki, rampas ekstasi bernilai lebih RM1 juta

Iklan
Bahrin (dua dari kiri) bersama pegawai yang bertugas menunjukkan barang kes berikutan tangkapan dua lelaki tempatan serta rampasan dadah jenis serbuk ekstasi di Taman Permata Kluang, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang hari ini. Foto Bernama

KLUANG - Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang dipercayai beroperasi dari rumah selepas menahan dua lelaki dan merampas serbuk ekstasi bernilai RM1.1 juta di Taman Permata di sini pada Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, dalam serbuan pada jam 10 pagi itu, tujuh kilogram serbuk ekstasi dirampas manakala dua kereta iaitu jenis Kia Optima dan Perodua Kelisa serta wang tunai RM600 turut disita.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, siasatan mendapati pembeli ke rumah itu untuk membeli dadah yang dimasukkan ke dalam peket minuman pelbagai perisa bagi digunakan ketika berhibur.

"Dadah itu dipercayai diperoleh dari Johor Bahru namun kita masih menyiasat sejak bila kegiatan ini beroperasi," katanya pada sidang media di IPD Kluang di sini hari ini.

Iklan

Bahrin berkata, ekstasi itu turut dipercayai diproses di rumah berkenaan dan kedua-dua individu berusia 26 tahun yang positif dadah jenis metamfetamina direman seminggu bermula semalam untuk disiasat mengikut Seksyen 39B serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau juga berkata, polis berjaya menyelesaikan kes kecurian sebuah lori tangki minyak sawit milik sebuah syarikat bersama muatan 44,900 liter minyak sawit bernilai RM243,000 dalam tempoh lapan jam selepas ia dilaporkan hilang susulan penahanan seorang lelaki berusia 36 tahun.

Iklan

"Bagaimanapun, ketika lori itu ditemui, didapati semua muatan minyak sawit berkenaan telah tiada, dipercayai telah dijual," katanya yang turut merampas wang tunai RM60,000 daripada suspek yang direman empat hari untuk disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. - Bernama