HULU SELANGOR - Sebuah pasar swasta di Jalan Orkid, Bukit Sentosa di sini diarahkan tutup selama 14 hari selepas kawasan itu kotor dan dicemari dengan najis tikus.
Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dalam kenyataannya memaklumkan, tindakan itu diambil dalam 'ops tegas' yang dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dengan kerjasama polis jam 9.30 pagi pada Selasa.
"Operasi ini dijalankan susulan aduan awam yang diterima MPHS terhadap operasi di pasar berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau memberitahu, tindakan tegas diambil MPHS berikutan keengganan pihak pengurusan mematuhi syarat termasuk menghentikan aktiviti penyembelihan ayam di dalam pasar.
"Pasar yang beroperasi lebih 10 tahun lalu itu menempatkan 22 peniaga yang menjual pelbagai barangan basah seperti ayam, sayur-sayuran, ikan, santan kelapa dan lain-lain.
"Aktiviti penyembelihan ayam masih dijalankan dan menyebabkan berlakunya tumpahan darah serta bulu ayam terus ke dalam longkang dan parit awam.
"Sebelum tindakan penguatkuasaan ini, MPHS telah mengadakan beberapa siri perjumpaan bersama pihak pengurusan pasar tersebut," katanya.
PBT itu berkata, pasar terbabit telah diberikan Notis Perintah Penutupan di bawah peruntukan Seksyen 50 (1), Undang-Undang Kecil (UUK) Pasar MPHS 2007.
"Penutupan ini bermula 10 hingga 24 Disember ini atau sehingga pihak pengurusan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
"MPHS turut mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan notis, kompaun dan penggantungan lesen perniagaan pemilik petak pasar," tambahnya.