Perbincangan Meja Bulat fokus cari ‘kunci’ perpaduan orang Melayu

Iklan
Abdul Rahim (kanan) menerima Anugerah Professor of Practice ketika Mini Konvokesyen Universiti Geomatika Malaysia (UGM) pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Meja Bulat 2024 perlu memfokuskan perbincangan berhubung ‘kunci’ kepada perpaduan terlebih dahulu sebelum pemimpin politik Melayu dapat mengulas mengenai isu ekonomi dan pendidikan seperti yang disarankan.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, ia berikutan perpaduan akan menjadi landasan untuk pembangunan ekonomi terutamanya orang Melayu dan bumiputera yang merupakan rakyat majoriti di negara ini.

Iklan
Iklan

"Kita tidak boleh ada pembangunan, kemajuan dan pertumbuhan kalau tidak ada landasan dia iaitu perpaduan. Jadi, orang Melayu dalam Meja Bulat mahu cari punca supaya kita boleh bersatu-padu.

"Kadang-kadang orang Melayu senang sahaja pecah kerana cemburu, sakit hati dan tak boleh tengok orang lebih...ini kita nak buang.

Iklan

"Pemimpin dalam perbincangan semua orang yang berpengalaman dan ada rekod hebat seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Yang pecahkan kita ini politik juga. Kita nak ada asas untuk solidariti kemudian baru cerita politik dan pentadbiran negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Mini Konvokesyen Universiti Geomatika Malaysia (UGM) di sini pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Mohd Zaid Ibrahim mencadangkan supaya perbincangan dalam Meja Bulat 2024 perlu memfokuskan terhadap isu ekonomi dan pendidikan rakyat secara keseluruhannya.

Beliau berkata, perbincangan tersebut tidak sepatutnya menghadkan topik yang hanya berpaksikan Melayu sekiranya mahu mendapatkan semula kuasa melalui peti undi agar boleh meraih sokongan semua rakyat yang kini dalam kesusahan.

Dalam pada itu, Abdul Rahim yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Alor Gajah turut mempersoalkan kepada kerajaan berhubung penubuhan dasar yang benar-benar dapat membantu rakyat majoriti di negara ini.

"Kemajuan ekonomi, perniagaan dan keusahawanan orang Melayu adalah kunci kestabilan Malaysia kerana sekarang kita ada 70 peratus orang Melayu dan bumiputera tetapi yang menguasai ekonomi hanya 20 peratus.

"Kedudukan ini macam langit dan bumi. Saya hairan kenapa tiba-tiba kerajaan yang ada sekarang ini kata kesamarataan. Orang bukan Melayu kuasai ekonomi 80 peratus, mana boleh sama.

"Selagi orang Melayu punya kedudukan ekonomi tak seimbang dengan kaum lain, tak boleh ada kesamarataan dan kita mesti berusaha membantu rakyat majoriti.

"Sudah dua tahun kerajaan tapi saya tak nampak ada satu dasar tertumpu yang fokus tingkatkan kesejahteraan, kekuatan dan penguasaan ekonomi orang Melayu,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Rahim turut menerima Anugerah Professor of Practice atas sumbangan beliau terutamanya dari segi pembangunan perniagaan dan keusahawanan serta mentransformasikan Melaka.

"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada UGM kerana beri penghargaan ini, mungkin mereka lihat jasa yang telah saya curahkan kepada Melaka dahulu.

"Pembangunan pelancongan naik dan pelaburan perindustrian, perniagaan dan perdagangan datang ke Melaka menjadikan ia satu negeri yang termaju di negara kita.

"Mungkin juga sebab sumbangan saya dalam Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) selama lima tahun sebagai pengerusi dan terima anugerah oleh tiga agensi antarabangsa yang menilai prestasi badan-badan berkanun ini iaitu di Madrid, Dubai dan Amerika Syarikat (AS).

"Saya juga telah memasuki 27 universiti, berjumpa dengan pensyarah dan pelajar untuk memperkenalkan ilmu keusahawanan supaya orang Melayu dapat meningkat dan berjaya dalam bidang ini,” katanya lagi.