KUALA LUMPUR - Malaysia meminta semua pihak yang terlibat dalam krisis di Syria agar mengadakan dialog yang inklusif dan konstruktif bagi membuka jalan kepada pemulihan, keamanan serta kestabilan jangka panjang di negara bergolak itu.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, kerajaan telah mengeluarkan kenyataan mengenai keperluan mendesak ke arah penyelesaian jangka panjang dan mampan berlandaskan undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan resolusi berkaitan Majlis Keselamatan badan dunia itu bagi Syria.
"Bagi Malaysia, dalam tempoh peralihan Kerajaan Syria ketika ini, perlindungan institusi nasional serta kebajikan dan kepentingan rakyat seharusnya menjadi keutamaan.
"Pada masa sama, kedaulatan, kemerdekaan dan keutuhan wilayah Syria wajar dihormati sepenuhnya dan untuk itu, Malaysia sentiasa menyokong hak dan aspirasi rakyat Syria yang sah dalam menentukan masa depan mereka," katanya dalam sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi kementerian itu di Dewan Negara hari ini.
Mohamad berkata, apa pun kerajaan yang memimpin Syria, negara memberi keutamaan kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di sana.
Pentadbiran 61 tahun Parti Baath di Syria berakhir pada Ahad selepas ibu kota Damsyik tidak lagi dikawal kerajaan.
Presiden Syria yang digulingkan Bashar al-Assad dan keluarganya dilapor melarikan diri ke Moscow pada Ahad di mana Rusia menawarkan perlindungan kepada mereka, menurut laporan Agensi Anadolu.
Sementara itu, menyentuh perubahan dasar luar dan perdagangan Amerika Syarikat (AS) pada 2025 susulan kemenangan Presiden Terpilih Donald Trump, Mohamad berkata kerajaan akan mengambil langkah strategik untuk mengimbangi kepentingan negara.
Beliau berkata, sebagai sebuah negara dengan ekonomi terbuka dan bergantung kepada perdagangan antarabangsa, perubahan dasar luar dan domestik di bawah pentadbiran baharu AS dijangka membawa peluang serta cabaran strategik kepada Malaysia.
"Hubungan Malaysia dengan AS adalah penting bukan hanya dari sudut perdagangan tetapi juga dari segi pelaburan langsung asing, kerjasama teknologi, keselamatan, pertahanan dan inovasi.
"AS merupakan antara rakan strategik utama bagi Malaysia, yang berperanan sebagai rakan dagang ketiga terbesar dan penyumbang utama pelaburan langsung asing dalam pelbagai sektor," katanya. - Bernama