SHAH ALAM - Keterujaan melihat teknik membaiki peralatan elektrik menerusi video di YouTube, menarik minat seorang kanak-kanak lelaki untuk belajar kemahiran tersebut meskipun umurnya baru menginjak 11 tahun.
Muhammad Daim Zakwan yang mula berminat dengan aktiviti tersebut pada usia seawal enam tahun, kini mahir membaiki barangan elektrik yang rosak di kediamannya.
Ibunya, Norlianna Harun, 36 berkata, minat anaknya berbeza dengan kanak-kanak lain yang sebaya dengannya, kerana dia hanya suka bermain dengan kabel dan peralatan aksesori elektrik berbanding permainan lain.
"Kadangkala dia (Muhammad Daim) lebih tahu berbanding kita tentang nama wayar, kipas, mentol lampu dan bahan lain.
Ujar Norliana yang berasal daripada Sungai Udang, Melaka, ayah Muhammad Daim turut mempunyai minat sama tetapi lebih kepada membaiki kereta berbanding peralatan elektrik.
Menurut ibu kepada dua anak itu, dia sering bimbang dengan hobi anaknya kerana pernah mengalami kecederaan ketika membaiki peralatan elektrik berkenaan.
Ibu kepada dua anak itu berkata, rumahnya juga pernah bergelap akibat terputus elektrik sebanyak dua kali gara-gara kerja anaknya.
"Kejadian pertama berlaku pada bulan 11 lalu dan minggu lepas, ia berlaku sekali lagi sebab anak saya usik pendawaian.
"Kadangkala saya juga risau sebab tangan anak saya beberapa kali luka. Kalau budak biasa, mungkin sudah tidak mahu pegang barang elektrik tetapi anak saya makin suka," ujarnya.
Ditanya mengenai perancangan untuk masa depan anaknya, Norliana berkata, buat masa ini dia hanya mahu seimbangkan antara minat dan pendidikan Muhammad Daim terlebih dahulu.
"Memang ramai bagi pandangan mengatakan bahawa minat anak pada peralatan elektrik itu bagus, tetapi saya risau juga jika pelajaran anak saya tercicir.
"Lagipun, dia masih berumur 11 tahun, jadi buat masa ini, biar seimbang antara belajar dan minat itu dulu," menurutnya.