BARU-baru ini, Merak Jalanan jumpa seorang rakan yang merupakan seorang guru sekolah. Banyak topik kami bualkan dan kebetulan Merak Jalanan terlihat beg dibawa olehnya yang mengandungi kertas peperiksaan.
Maklumlah tengah musim guru menanda kertas ujian. Beg itu sentiasa dikelek ke sana sini.
Daripada berborak santai, perbualan kami bertukar kepada sesi luahan perasaan. Dia nampak kecewa kerana ada pelajarnya yang menjawab soalan secara main-main dan tidak berusaha langsung, malah dengan selamba meninggalkan ruang kosong dan nota, ‘Sorry teacher, i don't know the answer’.
Merak Jalanan teringat dengan guru-guru pada zaman dahulu. Teringat momen melucukan ketika menjawab soalan subjek Sejarah, ada teman sekelas Merak Jalanan dulu siap ‘menggoreng’ fakta sejarah untuk memanjangkan esei dalam peperiksaan. Namun begitu, jawapan diberikan masih logik.
Benar, kita dulu seboleh-bolehnya cuba mengisi ruang kosong dan memerah otak sepenuh daya dengan jawapan yang masuk akal.
"Tapi budak-budak sekarang lain pula ‘peel’ mereka. Apa yang ‘digoreng’ langsung tak masuk akal dan menguji kesabaran seorang guru,” keluh rakan Merak Jalanan itu.
Merak Jalanan tak boleh bayangkan kalau berada di tempat golongan pendidik yang berdepan macam-macam kerenah, loyar buruk melampau dan kertas jawapan kosong. Sudah semestinya bacaan tekanan darah Merak Jalanan pun mencanak naik.
Ingatkan bila zaman makin maju, makin mudahlah nak lahirkan ramai pelajar sekolah yang pandai-pandai. Tapi rupanya, ramai yang jadi ‘loyar buruk’.