SHAH ALAM - Kenaikan caj perubatan di hospital swasta adalah isu yang semakin mendapat perhatian di kebanyakan negara termasuk di Malaysia dan ia boleh memberikan impak yang besar kepada pesakit serta sistem kesihatan secara keseluruhan.
Benar, tidak dapat disangkal kebanyakan hospital swasta sering menawarkan perkhidmatan berkualiti dengan masa menunggu lebih pendek dan persekitaran selesa mendorong pesakit untuk memilih hospital swasta, meskipun dengan caj yang lebih tinggi.
Di kebanyakan negara, caj perubatan di hospital swasta kurang dikawal berbanding dengan hospital awam, namun jika dibiarkan hospital swasta berkemungkinan mengambil kesempatan menaikkan harga untuk meningkatkan keuntungan.
Dalam beberapa kes, hospital swasta mungkin terpaksa menaikkan caj mereka untuk menampung kos premium insurans kesihatan yang semakin tinggi.
Jika insurans tidak dapat menampung kos rawatan yang semakin meningkat, pesakit yang mempunyai insurans mungkin akan diminta untuk membayar lebih banyak dari poket mereka.
Susulan daripada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan pembentangan pelan pelaksanaan sistem pembayaran perkhidmatan kesihatan swasta melalui pendekatan Diagnosis-Related Group (DRG) dibuat pada suku kedua tahun 2025.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pembentangan itu bagaimanapun bergantung kepada keperluan meminda Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 terlebih dahulu.
Menurutnya, KKM komited untuk memastikan pendekatan sistem DRG disempurnakan secepat mungkin.
Diharapkan dengan inisiatif yang diambil kerajaan bakal memberi sinar baru kepada rakyat Malaysia dalam mendapatkan rawatan perubatan tanpa perlu mengeluarkan kos terlalu tinggi.
Kenaikan caj perubatan menyebabkan pesakit terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi untuk rawatan perubatan, yang berpotensi memberi beban kewangan kepada keluarga, terutama jika rawatan tersebut memerlukan jangka masa panjang atau prosedur yang mahal.
Meskipun hospital swasta menawarkan perkhidmatan yang lebih cepat dan berkualiti, kenaikan harga ini memberikan cabaran kepada sesetengah pesakit dalam mendapatkan akses kepada rawatan.
Penyelesaian kepada isu ini memerlukan kerjasama antara pihak hospital, kerajaan dan syarikat insurans untuk mencipta penyelesaian yang lebih mampan serta berpatutan kepada masyarakat.