MELIHAT awan mula gelap, hati dirundung rasa bimbang dan takut kerana terbayangkan bah akan berlaku.
Apatah lagi kita menyaksikan saudara mahupun kenalan masing-masing terkesan akibat banjir dalam keadaan cuaca tidak menentu semasa musim tengkujuh sekarang.
Adakalanya ‘tangisan langit’ itu disulami dengan petir, guruh dan kilat sabung-menyabung membuatkan ada yang gusar kerana ia boleh mengancam keselamatan diri.
Hakikatnya, hujan juga makhluk ciptaan ALLAH SWT sama seperti manusia. Tidak sepatutnya kita takut dengannya.
Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah menjelaskan, turunnya hujan membawa rahmat dan manfaat besar kepada kehidupan.
"Bahkan, ia juga merupakan satu nikmat agung kurniaan ALLAH kepada seluruh makhluk-NYA antaranya menghidupkan bumi yang tandus, menyuburkan tumbuhan dan menyediakan sumber kehidupan kepada manusia serta haiwan,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.
"Mengertilah, hujan ialah makhluk yang taat kepada perintah ALLAH dan setiap titisan yang turun ke bumi adalah mengikut kehendak serta arahan-NYA.
"Ketahuilah, ada hujan diperintahkan menjadi rezeki dan sebahagiannya ditentukan sebagai peringatan atau ujian. Ia merupakan salah satu tanda kekuasaan ALLAH yang tidak dapat dikawal oleh manusia,” terangnya.
Namun Ustazah Sharifah Fadylawaty berkata, tiada dalil sahih yang secara jelas menyatakan bahawa setiap titisan hujan disertai oleh malaikat.
"Ia hadis mauquf daripada sahabat atau hadis mursal yang diriwayatkan tanpa sanad lengkap, tidak mencapai taraf hadis kuat,” ujarnya.
Sabar dan syukur
Sekalipun titisan air langit itu sering dianggap musibah lantaran kesulitan ditimbulkan seperti ribut, banjir atau gangguan rutin harian, beliau mengingatkan, Islam mengajarkan kita untuk melihatnya sebagai tanda rahmat dan kekuasaan ALLAH SWT.
Pun begitu, beliau mengingatkan, ada ketikanya hujan boleh menjadi ujian atau azab sepertimana berlaku kepada umat terdahulu antaranya kaum Nabi Nuh dan Nabi Hud AS.
Ahli akademik itu menambah, Rasulullah SAW sendiri menunjukkan rasa khuatir ketika melihat awan gelap dan angin kencang.
Aisyah RA meriwayatkan, wajah Baginda SAW menjadi pucat dan gelisah. Apabila ditanya, Baginda bersabda:"Wahai Aisyah, sesungguhnya kita tidak mengetahui adakah ia rahmat atau azab yang akan turun." (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Apabila hujan disertai ujian seperti ribut atau banjir, penceramah itu mengingatkan, ia tidak boleh dilihat semata-mata sebagai tanda kemurkaan ALLAH SWT, tetapi lebih kepada ujian untuk mendidik manusia agar lebih sabar dan bersyukur.
"Dalam setiap ujian, terdapat hikmah untuk kita muhasabah dan memperbaiki hubungan dengan ALLAH serta sesama manusia. Ia juga mengajar kita untuk menghargai nikmat kesejahteraan yang sering dilupakan saat senang.
Jamak solat
Menyambung hujah, beliau menjelaskan tentang situasi yang membolehkan jamak solat dilakukan saat hujan dan merujuk kepada kitab muktabar, terdapat syarat-syarat tertentu dalam pelaksanaannya agar ia sesuai dengan prinsip syariat dan tujuan rukhsah (keringanan) memudahkan umat tanpa melanggar batasan agama iaitu:
1. Jamak mesti dilakukan secara takdim iaitu menggabungkan solat Zuhur dengan Asar atau Maghrib dengan Isyak pada waktu solat pertama.
2. Solat kedua (Asar atau Isyak) mesti dilakukan secara berjemaah di masjid. Solat pertama boleh dilakukan bersendirian. Jika imam mengisytiharkan solat dijamakkan, semua boleh mengikutinya termasuk yang tinggal berdekatan masjid.
3. Mesti ditunaikan di masjid yang jaraknya jauh sehingga hujan menyulitkan perjalanan. Jika rumah berdekatan masjid, tidak dibolehkan jamak.
4. Hanya dibolehkan jika hujan cukup lebat hingga membasahi pakaian. Hujan renyai yang tidak memberi kesan, tidak dibolehkan jamak. Hukum itu juga terpakai untuk salji.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan, hujan merupakan satu manifestasi kasih sayang dan rahmat ALLAH SWT kepada makhluk-NYA.
Dengan memahami hikmah di sebalik hujan, ia adalah peluang memperkuatkan keimanan dan memperbaiki hubungan dengan Sang Pencipta.
"Ia bukan sekadar titisan air dari langit, tetapi simbol kasih sayang ALLAH SWT yang membawa harapan dan keberkatan. Setiap hujan adalah peluang untuk bermunajat kerana ia merupakan waktu mustajab untuk berdoa," ujarnya.
ANEKDOT
Perkaitan hujan dengan rahmat ALLAH
- Hujan sering dikaitkan sebagai rahmat ALLAH kerana manfaatnya yang begitu besar kepada kehidupan makluk di bumi.
- Titisan ‘air langit’ menyuburkan tanah gersang, menghidupkan tumbuhan dan menyediakan bekalan air kepada kehidupan manusia dan haiwan.
- Kehadirannya membawa keseimbangan kepada alam, menjadikannya salah satu nikmat terbesar yang wajib kita syukuri.
- Menerusi doa ketika hujan yang diajarkan Rasulullah SAW, ia mencerminkan pengiktirafan hujan sebagai anugerah yang membawa keberkatan, kebaikan dan rezeki. Bahkan, detik itulah waktu mustajab untuk berdoa.
- Saat air langit membasahi bumi itu sebenarnya membuka peluang untuk kita bermunajat kepada ALLAH SWT iaitu ketika pintu-pintu rahmat terbuka luas.
- Walaupun hujan disertai ujian seperti ribut atau banjir, ada hikmah yang mengingatkan manusia tentang kebergantungan kepada ALLAH dan sikap syukur atas nikmat kesejahteraan.
- Hujan melambangkan kasih sayang ALLAH terhadap hamba-hamba-NYA.
- Hujan menghidupkan tanah yang mati kembali menjadi subur. Ia manifestasi rahmat ALLAH yang menghidupkan jiwa-jiwa yang bersyukur dan mengingatkan kita akan pergantungan sepenuhnya kepada-NYA.
- Bagi orang beriman, ia adalah peringatan untuk mensyukuri nikmat yang diberikan dan memahami kebesaran ALLAH yang tiada tolok bandingnya.