SELANGOR FC melaungkan amaran awal apabila menyingkap tirai Piala Cabaran MFL dengan kemenangan bergaya ke atas Kelantan Darul Naim FC, 5-1 dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
The Red Giants kendalian Katsuhito Kinoshi yang tampil dengan status pasukan pelawat menampilkan permainan bola sepak agresif apabila memimpin separuh masa pertama 2-0.
Gawang The Golden Deers bimbingan Park Jae-hong, dibolosi dua jaringan yang dijelmakan penyerang import Ronnie Fernandez selepas menyudahkan hantaran Quentin Cheng Jiun Ho bagi menewaskan Mohammad Fikri Che Soh pada minit kedua.
Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi juga tidak ketinggalan mencetak nama sebagai penjaring apabila melebarkan lagi kedudukan dengan gol minit ke-37 sebelum kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan.
Separuh masa kedua, anak buah Kinoshi meningkatkan tekanan ke atas pemain-pemain Jae-hong, hasilnya sekali lagi Mukhairi Ajmal meledak jaringan kedua peribadi kempen Piala Cabaran dengan gol minit ke-48.
Bagaimanapun, Kelantan Darul Naim berjaya merapatkan jurang apabila pemain pertahanannya Mohd Arip Amiruddin memanfaatkan kealpaan benteng terakhir Selangor, Azim Al-Amin Kamaruddin minit ke-70.
Selangor berstatus juara 33 kali Piala Malaysia yang cabaran disekat Sri Pahang di pentas 16 terbaik, kembali menjarakkan kedudukan dengan Kelantan Darul Naim, apabila Fernandez mencetak gol keempat minit ke-74 juga jaringan kedua peribadi saingan Piala Cabaran.
Quentin Cheng kemudian melengkapkan kemenangan besar Red Giants apabila meledak jaringan kelima minit ke-80 untuk bekalan lima gol menjelang timbal balik kedua minggu depan di venue sama.