DALAM Islam, kita dibenarkan berdoa untuk mengalihkan atau menolak hujan asalkan tujuannya adalah untuk mengelakkan kemudaratan atau kesukaran kepada manusia.
Pensyarah di Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Siti Norlina Muhamad menjelaskan, antara doa diajarkan ialah Allahumma sayyiban naafi’an (Ya ALLAH, turunkanlah hujan yang bermanfaat).
"Menerusi sebuah hadis sahih riwayat Al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW mengajar umatnya berdoa agar hujan yang turun tidak membawa kemudaratan, tetapi memberi manfaat.
"Doa itu berbunyi ‘Ya ALLAH, turunkanlah hujan di sekitar kami, bukan ke atas kami (langsung)’.
Menyambung hujah, Dr Siti Norlina kemudian menceritakan kisah Rasulullah SAW dan para sahabat memohon kepada ALLAH SWT agar hujan dihentikan atau dipindahkan jika ia terlalu lebat hingga mendatangkan bahaya.
Dalam satu riwayat, katanya, seorang lelaki meminta Baginda berdoa agar hujan dihentikan kerana ia menyebabkan gangguan, lalu nabi ALLAH itu mengangkat tangan dan berdoa agar 'air dari langit' itu dialihkan.
"Ini menunjukkan bahawa doa untuk hujan yang bermanfaat (bukan hujan yang membawa mudarat) adalah dibenarkan kerana tujuan doa adalah untuk memohon kebaikan dan manfaat, bukan menolak rahmat yang ALLAH turunkan,” ujarnya.
Begitupun, apabila melibatkan perihal cuaca atau keadaan alam semula jadi, ahli akademik itu mengingatkan, Islam mengajarkan umatnya untuk menerima takdir ALLAH dengan sabar dan tawakal.
Bagaimana pula jika seseorang menggunakan khidmat pawang untuk mengelakkan hujan di tempat tertentu?
Menjawab persoalan itu, pensyarah tersebut mengingatkan agar kita berhati-hati kerana ia boleh membawa kepada amalan yang bertentangan dengan ajaran tauhid.
Menurut perspektif Islam, semua bentuk kejadian termasuk hujan adalah di bawah kekuasaan ALLAH.
"Dari satu sudut, umat Islam dilarang menggunakan khidmat orang yang mengamalkan ilmu ghaib atau mendakwa diri mereka dapat mengubah takdir atau cuaca dengan cara tidak diizinkan syarak.
"Mengertilah, menggunakan khidmat pawang hujan adalah amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam kerana ia membabitkan kepercayaan kepada kuasa selain ALLAH yang boleh membawa kepada syirik,” ungkapnya.
Ritual hujan undang khurafat
Dalam masyarakat kita, masih ada lagi yang melakukan amalan melempar pakaian pengantin di atas bumbung, merebus lesung batu dan lain-lain sebagai satu ritual untuk mengelak hujan di kawasan rumah mereka.
Lebih-lebih lagi dalam kalangan mereka yang mahu mengadakan majlis kenduri atau perkahwinan dalam cuaca tidak menentu.
"Adat seperti ini sering dilakukan dengan harapan untuk mendapatkan keberkatan, menghindari hujan atau menjaga kelancaran majlis.
"Namun, jika sampai melibatkan keyakinan bahawa tindakan tersebut mempunyai kuasa tertentu misalnya untuk menghalau hujan, maka ia boleh dianggap khurafat.
"Sedangkan kepercayaan kepada benda atau ritual yang tiada dalilnya dalam agama boleh menyimpang daripada konsep tauhid,” tegasnya.
Dalam pada itu, Dr Siti Norlina turut menyenaraikan dua kesilapan yang sering kali dilakukan oleh kebanyakan orang ketika hujan dan merugikan diri.
Salah satu daripadanya adalah tidak berdoa sewaktu air langit turun membasahi bumi sedangkan ia merupakan waktu mustajab atau terbaik untuk berbuat demikian.
"Perbuatan itu begitu merugikan kerana hilang peluang mendapatkan keberkatan dan memohon perlindungan daripada ALLAH, meminta keampunan untuk diri dan orang lain.
"Satu lagi, jangan lupa untuk bersyukur dan bertawakal kepada ALLAH kerana hujan merupakan sebahagian daripada takdir-NYA yang membawa manfaat,” ungkapnya.