Tempuhi bencana secara bersama

Iklan
BENCANA banjir mengakibatkan kemusnahan harta benda dan tanaman selain mengorbankan ternakan serta nyawa insan yang tersayang. Foto Bernama

Khatib mengingatkan umat Islam ambil sikap benar dalam menghadapi ujian

BENCANA banjir yang melanda negara baru-baru ini mencatatkan jumlah mangsa yang sangat tinggi iaitu melebihi 150,000 orang di seluruh negara, malah mengorbankan beberapa nyawa yang tidak berdosa.

Tidak hanya itu, bencana banjir yang melanda juga telah mengakibatkan kemusnahan harta benda, tanaman, ternakan dan kemudahan-kemudahan lain.

Iklan
Iklan

"Inilah ujian yang besar dari ALLAH SWT. Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk menghadapinya dengan penuh kesabaran, ketabahan dan tawakal kepada ALLAH,” ujar khatib pada permulaan khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertajuk Ujian ditempuh, kebersamaan diperteguh.

Menurutnya, bencana banjir yang berlaku ini merupakan salah satu bentuk ujian yang datang dari ALLAH bagi menguji iman dan kesabaran kita.

Iklan

"ALLAH berfirman dalam ayat ke-286 surah al-Baqarah: ‘ALLAH tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya’,” katanya.

BANTULAH mangsa banjir dengan ikhlas mengikut kemampuan masing-masing. Foto Bernama

Iklan

Sikap ketika diuji bencana

Dalam menghadapi ujian ini katanya, kita perlu mengambil beberapa sikap yang benar agar dapat meraih pahala dan mendekatkan diri kepada-NYA melalui:

1 - Bersabar dan bertawakal kepada ALLAH

Ketika berhadapan dengan bencana, perasaan panik dan takut mungkin datang, tetapi kita hendaklah selalu mengingati ALLAH SWT dalam apa jua keadaan, ujar khatib.

"Kita mesti bersabar dan bertawakal kepada-NYA kerana semua di dunia adalah milik-NYA.

Nasihatnya kepada mangsa yang terlibat, teruslah bersangka baik terhadap ALLAH SWT kerana tetaplah ingat bahawa semua yang ada di dunia ini adalah milik-NYA dan DIA MAHA TAHU akan tiap-tiap yang berlaku.

2 - Saling membantu

Menurut khatib, ujian banjir bukan hanya untuk individu mangsa banjir tetapi juga kepada masyarakat keseluruhannya termasuk mereka yang tidak terkena banjir.

"Indahnya ajaran Islam, ia mengajar kita untuk membantu orang lain terutamanya mereka yang berada dalam kesusahan.

Beliau kemudiannya membacakan hadis, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang membebaskan seseorang daripada kesusahan dunia, maka ALLAH akan melepaskannya daripada kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan orang yang berada dalam kesusahan, maka ALLAH akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup aib saudaranya yang Islam, maka ALLAH akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. ALLAH akan membantu hamba selagi dia membantu saudaranya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu katanya, marilah kita saling membantu saudara-saudara yang kini berada dalam kesulitan.

SAMA-SAMA berganding bahu membantu golongan yang memerlukan ketika ujian menimpa. Foto Bernama

"Bantulah mereka dengan ikhlas semata-mata mengharapkan keredaan ALLAH SWT dan bukan mencari populariti dan kesempatan lain,” tambahnya.

3 - Mendoakan keselamatan dan kesejahteraan

Menurut khatib, banjir juga merupakan peringatan dari ALLAH SWT. Maka sebagai Muslim, kita harus sentiasa mendoakan keselamatan diri, keluarga serta masyarakat di sekeliling kita.

"Doa adalah senjata orang Mukmin. Kita perlu berdoa kepada ALLAH agar diangkat musibah ini dan diberikan perlindungan kepada kita semua,” katanya.

4 - Meningkatkan kesedaran dan persediaan

Ujar khatib, sungguhpun bencana yang datang ini merupakan antara rahsia ALLAH SWT, namun bencana seperti banjir ini sering kali dapat dijangka.

"Jabatan Meteorologi dan Agensi Pengurusan Bencana juga dari semasa ke semasa sentiasa mengeluarkan amaran-amaran tertentu supaya kita sentiasa lebih bersedia menghadapi sebarang bencana.

KANAK-KANAK tidak berdosa turut terkesan dengan bencana banjir yang menimpa hampir seluruh negeri di Malaysia baru-baru ini. Foto Bernama

Ini juga merupakan salah satu bentuk ikhtiar kita untuk menghadapi musibah sesuai dengan tuntutan Maqasid Syariah.

Mengakhiri khutbah, khatib menyimpulkan beberapa intipati:

1 - ALLAH SWT menurunkan ujian kepada para hamba-NYA yang mampu menanggungnya. Ujian juga boleh jadi sebab untuk ditinggikan darjat seseorang selagi mana dia menghadapinya dengan sabar dan reda setulus hati.

2 - Bantulah mangsa-mangsa banjir melalui apa-apa jua cara yang termampu dengan ikhlas.

3 - Marilah kita sentiasa meningkatkan amalan kita dan memperbanyakkan doa, agar ALLAH SWT sentiasa memberikan kita perlindungan dan rahmat-NYA dalam setiap keadaan.