SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyalurkan bantuan hampir RM600,000 kepada mangsa terjejas banjir di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, bantuan itu merupakan sumbangan daripada agensi dan anak syarikat di bawah MAIS antaranya Baitulmal MAIS, Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Perbadanan Wakaf Selangor (PWS).
Menurutnya, turut menyumbang ialah Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Bakti Suci Holdings Sdn Bhd (BSHSB) dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui Tabung Infak Jariah Umat Islam (TIJARI).
"Sumbangan tersebut akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) berjumlah RM84,200, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) RM50,200 dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) RM44,200.
"Bantuan disalurkan berbentuk wang tunai selain makanan asas dan keperluan barangan yang diserahkan melalui masjid terpilih untuk diagihkan kepada penduduk terkesan banjir," katanya pada pelepasan konvoi bantuan banjir di Bangunan Sultan Idris Shah pada Jumaat.
Misi bantuan MAIS bersama agensi dan anak syarikat MAIS serta Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor (JHEIS) akan ke Kelantan, Terengganu dan Kedah sehingga Ahad.
Seramai 100 sukarelawan menyertai misi penyerahan bantuan serta turut mengadakan operasi pembersihan di tanah perkuburan Islam dan jalan-jalan utama kawasan Kampung Mat Kajang Sebidang Tumpat Kelantan.
Abdul Aziz berkata, sumbangan itu sebagai tanda solidariti di antara Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) untuk saling membantu meringankan bebanan.
"Jumlah bukan menjadi ukuran tetapi bagi menunjukkan simpati kepada negeri terjejas kerana mereka tidak pernah lupa membantu Selangor ketika kita ditimpa musibah seperti banjir pada 2021.
"Ketika itu, Selangor menerima banyak bantuan daripada Wilayah Persekutuan serta negeri lain dan sekarang giliran Selangor dan MAIS pula bantu.
"Itulah semangatnya, dalam waktu susah kita saling membantu supaya beban itu dapat diringankan," katanya.
Untuk rekod, pada Januari lalu MAIS, JHEIS, agensi dan anak syarikat telah menyumbang sebanyak RM280,000 bagi membantu mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan.
Sementara itu, MAIS turut menyumbang kepada mangsa-mangsa banjir di Selangor baru-baru ini berjumlah RM466,800 melalui peruntukkan LZS, YIDE dan JAIS melalui TIJARI.