Kadar caj tempat letak kereta MBSP naik 50 peratus

Iklan
Baderul Amin (tengah) pada sidang media memaklumkan kadar baharu caj tempat letak kereta di kawasan MBSP.

BUKIT MERTAJAM - Kadar caj tempat letak kereta di kawasan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan meningkat sekali ganda bermula 1 Januari tahun hadapan.

Datuk Bandar Seberang Perai, Datuk Baderul Amin Abdul Hamid berkata, pelaksanaan kadar baharu itu dibuat selepas hampir 30 tahun kadar caj lama diguna pakai dan tidak disemak sejak 1995.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepanjang tempoh itu tiada penilaian ke atas kadar caj semasa yang relevan diguna pakai bagi penambahbaikan terhadap implikasi kutipan hasil MBSP yang boleh memberi nilai tambah kepada pembangunan infrastruktur kemudahan awam terutamanya kemudahan tempat letak kereta untuk penduduk Seberang Perai.

"Bagi pelaksanaan kadar baharu ini ia melibatkan perubahan sekali ganda daripada kadar asal iaitu bayaran caj jam daripada RM0.40 kepada RM0.80 sejam, bayaran caj harian daripada RM3 kepada RM6 sehari, dan caj bulanan daripada RM75 kepada RM150 sebulan.

Iklan

"MBSP juga mewujudkan kadar baharu melibatkan tempoh penggunaan singkat iaitu kadar caj setengah jam sebanyak RM0.40 bagi tempoh berkenaan.

"Cadangan kenaikan kadar caj baharu ini adalah melibatkan penilaian kajian pasaran yang telah dilakukan oleh pihak MBSP meliputi semakan ke atas pihak berkuasa tempatan (PBT) di Malaysia yang menguatkuasakan kadar caj tempat kereta minimum yang masih relevan dengan kadar yang akan dikuatkuasakan oleh pihak MBSP," katanya pada sidang media di Menara MBSP di sini, Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, pelaksanaan kadar caj tempat letak kereta sedia ada merupakan antara kadar caj masih rendah di kalangan PBT di Malaysia.

Tambahnya, kadar caj baharu tempat letak kereta itu akan digunakan untuk penyelenggaraan sistem tempat letak kereta di Seberang Perai dan bagi meningkatkan mutu sistem tempat letak kereta.

"Kadar caj baharu ini bukanlah untuk memberikan keuntungan kepada MBSP tetapi untuk menjadikan sistem tempat letak kereta di Seberang Perai lebih efisien dan memberikan faedah kepada semua penduduk.

"Pada masa kini terdapat 24,000 tapak letak kereta di seluruh Seberang Perai yang mana kita memerlukan kira-kira RM3 juta untuk kerja-kerja tukar baharu bateri peranti pengesan di 22,000 petak parkir Penang Smart Parking (PSP) yang telah tamat tempoh.

"Di samping itu, kita akan menaik taraf baki 2,000 petak parkir dengan menggunakan peranti kamera, demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya," katanya lagi.