Tiga maut terkena renjatan elektrik ketika pasang panel solar

Iklan
Tiga pekerja kontrak pemasangan panel solar maut terkena renjatan elektrik dalam kejadian di sebuah bangunan pejabat di sini, pada Jumaat.

RANAU - Tiga pekerja kontrak pemasangan panel solar maut terkena renjatan elektrik dalam kejadian di sebuah bangunan pejabat di sini, pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, tiga lelaki dikenali sebagai Wong, 54, Salleh, 34, dan Gimbal, 24, disahkan maut di lokasi manakala seorang lagi rakan mereka terselamat.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintenden Ediansah Edal berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11.11 pagi.

Anggota bomba mengalihkan mayat mangsa yang terkena renjatan elektrik ketika melakukan pemasangan panel solar di kawasan bangunan pejabat di Ranau.

"Tiga mangsa terbabit telah ditugaskan untuk memasang panel solar dan pemasangan dilakukan menggunakan perancah besi pada ketinggian 12 meter.

Iklan

"Seorang lagi pekerja berada di bawah dan ketika pemasangan, panel solar telah menyentuh kabel Sabah Electricity yang dikategorikan sebagai bervoltan tinggi iaitu 11000kv," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.46 pagi.

Iklan

"Mangsa yang terkena renjatan elektrik disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan manakala seorang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Pasukan bomba bertindak mengalihkan mangsa ke tempat selamat dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya," katanya.